`Kasih anak sampai ke syurga' - Utusan Malaysia

`Kasih anak sampai ke syurga’

MAS Imran Adam (tiga dari kanan) dan Mohd. Fadel Alwi (kanan) melawat keluarga Syahira Mohamat di kediaman mereka di Jalan Meranti, Taman Rinting, Masai di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketika majoriti generasi muda berpeluang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan persekolahan, situasi berbeza dihadapi Syahira Mohamat, 19.

Menurutnya, dia mengambil keputusan berhenti sekolah di tingkatan enam rendah pertengahan Februari lalu apabila bapanya, Mohamat Md. Noh, 68, terlantar sakit akibat diserang strok pada bulan berkenaan.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, tindakan itu sama dengan keputusan kakaknya, Jamilah, 26, yang menolak tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) demi menjaga ibu yang mengalami masalah buah pinggang dan strok, sejak sembilan tahun lalu.

“Sebelum bapa jatuh sakit, dia bekerja sebagai pemandu trak selain turut membantu menjaga keperluan harian ibu, Asmah Mohd. Yatim, 58, bersama kakak secara bergilir-gilir. Ini termasuk menghantar ibu ke pusat dialisis di Tampoi sebanyak tiga kali seminggu, selain turut membiayai kos pembelian makanan tambahan bagi keperluan ibu.

“Tetapi malangnya kini bapa turut hilang upaya dan memerlukan penjagaan dan bantuan ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan,” katanya selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam dan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi di Taman Rinting, Masai di sini.

Tambah Syahira, selepas bapanya hilang punca pendapatan akibat sakit, kini mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada pendapatan kakaknya yang bekerja sebagai kerani di kedai menjual kereta dengan gaji hanya RM1,200 sebulan.

Namun katanya, pendapatan Jamilah juga terjejas apabila perlu kerap mengambil cuti bagi menguruskan ibu dan bapa mereka.

“Kami buntu kerana perlu membiayai kos bagi menjalankan prosedur pemasangan jantung ibu yang berjumlah RM13,000, namun dengan bantuan orang ramai akhirnya dana itu berjaya dikumpul. Alhamdullilah, ibu berjaya menjalani pembedahan baru-baru ini dan kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” ujarnya.

Syahira turut memberitahu, kebiasaannya dia dan kakak akan membahagikan tugasan bagi menjaga kedua ibu bapa dengan harapan mereka akan kembali beransur pulih.

“Rutin harian saya adalah memasak, beri susu kepada bapa setiap empat jam, membersihkannya, menukar lampin dan memberi ubat. Dua minggu sekali pula perlu menukar tiub di hidung bapa selain tiub air kencing, manakala kakak beri perhatian kepada ibu termasuk menemaninya ke pusat dialisis serta memantau tekanan darah ketika di rumah,” jelasnya.

Syahira berkata, keperluan perbelanjaan menguruskan ibu bapanya dianggarkan sebanyak RM1,500 sebulan dan ketika ini mereka menerima bantuan RM400 sebulan dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Kami reda dengan ujian Allah. Ketika kecil ibu bapa bersusah-payah menjaga kami dan kini tiba giliran kami untuk membalas jasa mereka,” katanya yang memasang impian menjadi guru Bahasa Inggeris pada masa depan.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat Jamilah iaitu 220791685620.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN