ARAU : Perjalanan pulang seorang kanak-kanak berusia 10 tahun untuk berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian, apabila dia ditemukan mati lemas selepas basikal yang dinaikinya tergelincir jatuh ke dalam takungan air bendang di Kampung Hutan Kandis, Jelempok di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Mohamad Amir Faris Rohaizad bersama adiknya berusia lapan tahun serta seorang rakan berusia 11 tahun sedang berbasikal bersama melalui laluan batas bendang di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof berkata, basikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum tergelincir terjatuh ke dalam takungan air itu.
Katanya, menyedari kejadian itu, rakan mangsa bergegas ke rumah kanak-kanak tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian bagi mendapatkan bantuan.
Jelasnya, ahli keluarga kanak-kanak itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.
“Apabila ibu bapa mangsa sampai ke tempat kejadian, didapati beberapa orang penduduk kampung sedang menarik mangsa dari dalam lubuk tersebut. Namun, kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Tambah Nanda, takungan air tersebut mempunyai kedalaman kira-kira dua meter dan biasanya sebagai lubuk ikan.
Katanya lagi, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -UTUSAN ONLINE