Kanak-kanak 7 tahun tidak digalak ke masjid di Melaka - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 7 tahun tidak digalak ke masjid di Melaka

ABDUL HALIM Tawil ketika sidang akhbar di Pejabat Jabatan Mufti Negeri Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu bapa atau penjaga tidak digalakkan untuk membawa kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah untuk mengikuti aktiviti-aktiviti di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan yang akan disambut umat Islam pada minggu hadapan.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada para jemaah dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan untuk mengikuti aktiviti yang diadakan di masjid atau surau termasuklah solat Jumaat, solat tarawih, majlis tadarus dan sebagainya.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak digalakkan untuk membawa anak-anak kecil di bawah umur tujuh tahun bagi memberikan keselesaan dan ruang kepada para jemaah lain, selain bagi menjaga keselamatan anak itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Jabatan Mufti negeri, Kampung Bukit Baharu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, seperti diumumkan oleh kerajaan Persekutuan yang membenarkan solat tarawih bermula 13 April ini, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan semua aktiviti di masjid dan surau bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

“Solat tarawih boleh dilaksanakan lapan atau 20 rakaat dan diakhiri solat witir. Namun, pelaksanaan solat ini digalakkan dilakukan secara ringkas termasuklah dalam pemilihan surah dan bacaan doa.

“Jamuan berbuka puasa, sahur dan moreh di masjid serta surau dibenarkan, namun, makanan itu mestilah dihidangkan secara bufet atau digalakkan dibungkuskan. Makan secara di dalam dulang atau talam adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti yang melibatkan bermalam di masjid atau surau juga tidak dibenarkan.

“Majlis-majlis lain seperti, khatam al-Quran, tazkirah, aktiviti iktikaf dan qiamullail dibenarkan, namun, ia mestilah bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk menjalankan dalam tempoh masa yang munasabah serta bersesuaian.

“Warga asing bagaimanapun masih tidak dibenarkan mengikuti aktiviti di masjid dan surau,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN