IPOH: Bagi yang ingin mencuba menu kambing golek ‘daging harimau menangis’, sajian yang disediakan oleh air tangan chef Symphony Suites Hotel, di sini sebagai juadah berbuka puasa tidak kurang perisanya yang menyengat.
Menu masakan istimewa yang disediakan dari dapur hotel berkenaan menepati selera pelanggan apabila disajikan dengan sos cili yang dicampur bersama bawang putih, biji bijan, cili dan daun ketumbar yang memberi rasa menyegarkan.
Lebih mengujakan apabila pengunjung yang menjamu selera di kafe hotel berkenaan dapat melihat proses bagaimana daging itu dibakar dan disajikan.
Selain itu, kambing bakar golek adalah menu spesial yang disajikan pada pelanggan sepanjang berbuka puasa di sini.
Pengurus Besar Symphony Suites Hotel, Muhamad Hairil Kumaradas berkata, tema Moh Bebuke pada bulan Ramadan ini adalah menyajikan makanan cita rasa Malaysia terutama makanan masyarakat negeri Perak.
“Lebih 100 menu disajikan dan antara menu yang popular di sini adalah pasembur dan mi kari. Keistimewaannya adalah pada kuah pasembur yang dimasak mengikut resepi petugas dapur kita menjadikan rasanya unik dan sedap.
“Kita menyediakan lima menu yang berbeza, jadi setiap hari kita akan tukar menu yang akan dihidangkan bagi memberi kelainan selain bertukar selera,” katanya.
Kata Muhamad Hairil, hanya 120 pelanggan boleh berada di kafe untuk berbuka dalam satu masa kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – UTUSAN ONLINE