KANGAR: Kerajaan akan mengumumkan kaedah penggunaan vaksin AstraZeneca esok bagi menangani kegusaran orang ramai susulan tular vaksin tersebut dikaitkan dengan insiden darah beku.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil kira kegusaran rakyat mengenai penggunaan vaksin terbabit yang banyak diperkatakan dalam media sosial sejak semalam.
Menurutnya, pihak beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba turut mengadakan perbincangan mengenai penggunaan vaksin tersebut.
“Saya sependapat dengan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Negara (NIH), Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy dan Dr. Adham bahawa vaksin AstraZeneca ini selamat digunakan.
“Bagaimanapun saya mengambil kira pandangan daripada rakyat yang gusar dan tidak mahu vaksin ini menggugat program imuninasi. Jadi penyelesaiannya akan diumumkan nanti,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.
Semalam, Dr. Kalaiarasu memberitahu, jumlah kes pembekuan darah dalam kalangan pesakit Covid-19 berusia 60 tahun ke atas selepas menerima vaksin AstraZeneca adalah sangat rendah.
Menurutnya, data yang dikumpul dan dikaji oleh panel terdiri daripada 22 pakar jelas menunjukkan kebaikannya jauh melebihi kemudaratan, khususnya berkaitan dakwaan kes pembekuan darah.
Sementara itu Khairy berkata, pihaknya akan mula mendapatkan senarai awal pengamal media yang akan menerima vaksin bermula bulan depan.
“Mungkin bukan semua sekali gus, tetapi kita akan mula pada Mei nanti,” katanya.
Katanya, seramai 65,849 atau 35 peratus daripada penduduk berusia 18 tahun ke atas di Perlis telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 23,550 warga emas, golongan berisiko dan orang kurang upaya (OKU) telah berdaftar untuk fasa dua.
“Saya mohon kerjasama agar pendaftaran dapat dibuat segera kerana Perlis populasi tidak ramai. Kalau semua dapat didaftarkan, Insya-Allah Perlis boleh jadi antara negeri pertama yang dapat selesaikan program imunisasi Covid-19,” jelasnya.