KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada tahun ini tidak kurang daripada RM7.
Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata, penetapan kadar itu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Katanya, pembayaran zakat boleh dibuat menerusi kaunter zakat Maidam termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan kaunter zakat pandu lalu di samping melalui amil yang dilantik.
“Adalah dimaklumkan Maidam tidak menerima bayaran zakat fitrah dengan beras pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kadar zakat fitrah RM7 adalah bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan manakala bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super import, bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakan.
Menurut Osman, seramai 1,090 amil dilantik pada tahun ini bagi memungut fitrah dan zakat harta di setiap masjid dan surau di seluruh Terengganu.
Katanya, umat Islam dinasihatkan untuk mengambil resit selepas selesai membuat pembayaran.- UTUSAN ONLINE