KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan kadar zakat fitrah di Sabah pada tahun ini adalah RM7, berbanding dua kadar zakat iaitu RM6 dan RM7.50 pada tahun lalu.
Kadar yang diumumkan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar itu adalah bersamaan harga satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini.
Beliau berkata, sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM11juta. Untuk sasaran kutipan zakat harta pula adalah sebanyak RM93juta.
“Kutipan zakat fitrah di Sabah pada tahun lalu adalah RM10.83 juta membabitkan seramai 1.47 juta pembayar. Secara keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM101.2 juta, termasuk zakat harta yang berjumlah RM90.33 juta dengan 471,816 pembayar.
“Berdasarkan pecahan, penyumbang terbesar kutipan zakat harta pada tahun lalu adalah daripada penggajian iaitu sebanyak RM47.48 juta diikuti zakat perniagaan iaitu RM29.19 juta dan zakat pendapatan RM8.41juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi Ramadan tahun ini, MUIS memperuntukkan sebanyak RM10.4 juta dimana, RM9juta untuk diagihkan kepada 44,018 asnaf fakir, miskin dan mualaf manakala, RM1.4juta diagihkan kepada 2,000 amil zakat fitrah sebagai upah amil.
“Seramai 39 penyelaras wakil amil dan seramai 2,000 wakil amil dilantik untuk menyelaras dan memungut zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Kesemua mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelakkan masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak bertauliah,” katanya.- UTUSAN ONLINE