PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan hasrat kerajaan menurunkan kes jangkitan Covid-19 kepada dua angka menjelang Mei dilihat tidak kesampaian di samping kadar vaksinasi yang masih perlahan.
Jelasnya, malah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bekalan vaksin yang mencukupi dan ia hanya dijangka pulih pada Jun depan.
“Kadar vaksinasi negara masih sangat perlahan. Menteri vaksin kata bekalan vaksin yang mencukupi hanya dijangka pulih pada bulan Jun.
“Nampaknya, hasrat kerajaan untuk turunkan kes jangkitan baru setiap hari kepada dua angka menjelang bulan Mei dengan pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Januari lalu bakal tidak kesampaian. Apapun, kita jangan leka semasa menyambut bulan Ramadan,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut Najib lagi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah memberi amaran bahawa kes aktif Covid-19 naik semula setiap hari sejak 7 April lalu.
“Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beri amaran bahawa Malaysia mungkin berdepan gelombang keempat Covid-19 biarpun gelombang ketiga masih belum reda.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt diberi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) naik ke 1.07 iaitu paling tinggi sejak 4 Feb 2021 lalu dan di atas paras neutral 1.00,” katanya.
Semalam Ismail Sabri memaklumkan negara mungkin berdepan gelombang keempat Covid-19 susulan situasi semasa peningkatan nilai R-Naught (RO) dan pertambahan kes harian beberapa buah negeri ketika ini serta hampir keseluruhan negeri ketika ini mencatatkan trend tidak stabil. -UTUSAN ONLINE