Kadar vaksinasi Malaysia di kedudukan keempat di ASEAN - Utusan Malaysia

Kadar vaksinasi Malaysia di kedudukan keempat di ASEAN

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar agihan vaksinasi Covid-19 Malaysia kini berada di landasan tepat dan tidak jauh terkebelakang berbanding negara-negara ASEAN yang lain.

Berdasarkan data diterima, Malaysia berada di kedudukan keempat di belakang Singapura, Indonesia dan Kemboja dari segi kadar vaksinasi Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa Malaysia dilihat lambat bertindak dari segi agihan vaksin.

“Saya faham kegusaran rakyat yang sudah daftar awal PICK, tetapi, masih menunggu giliran. Semua perlu faham bahawa kita kena tunggu fasa kita terlibat.

“Bagi orang muda yang tiada apa-apa penyakit, mereka tetap kena ikut fasa ditetapkan, justeru, saya harap rakyat memahami perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Malaysia dijadualkan menerima lebih 2.25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, mulai bulan ini dan Mei depan.

Menurutnya, bekalan itu bagi menampung pelaksanaan fasa kedua PICK yang bermula secara rasmi, hari ini.

“Bekalan pertama dijadualkan tiba pada Rabu ini membabitkan sejumlah 128,700 dos, diikuti 36,270 dos (Khamis) dan 12,870 dos (Jumaat),” katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan, Putrajaya merekodkan kadar pendaftaran PICK tertinggi apabila 98 peratus warganya sudah berdaftar untuk menerima vaksin.

“Ia kemudian diikuti Selangor dengan 50 peratus, Kuala Lumpur (50 peratus), Pulau Pinang (45 peratus) dan Negeri Sembilan 44 peratus,” katanya.

Selain itu, katanya, sejumlah 1.4 juta warga emas sudah mendaftar bagi fasa kedua PICK manakala, orang kelainan upaya (OKU) pula seramai 136,798 orang dan jumlah individu dengan komorbiditi berdaftar adalah sebanyak 2,029,297 individu.

Jelasnya lagi, seramai 9,916 individu dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin hari ini yang mana 924 warga emas di Perlis menjadi kumpulan terbesar divaksinasi.

“Fasa dua PICK bermula secara berperingkat dengan 30 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka hari ini iaitu di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan.

‘Manakala pelaksanaan fasa satu PICK juga masih lagi diteruskan untuk 258,783 petugas barisan hadapan yang bakal melengkapkan suntikan dos kedua mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya