PASIR PUTEH: Ketika peniaga lain di negeri ini mula menaikkan harga ayam proses sejak hari pertama Ramadan, usahawan tersohor Zukila Deraman atau lebih dikenali sebagai Jukee Ayam pula mengambil pendekatan berbeza.
Tinjauan Utusan Malaysia di salah satu cawangannya di Jalan Bypass, di sini mendapati Jukee Ayam menawarkan harga ‘kebajikan’ kepada pengguna iaitu RM6.59 sekilogram, berbanding RM8 hingga RM8.50 di tempat lain.
Wakil jualan Jukee Ayam yang mahu dikenali sebagai Kak Nah berkata, harga ayam jauh lebih murah itu menyebabkan gerainya menjadi tumpuan pelanggan yang datang dari segenap pelosok jajahan ini serta Bachok.
“Hari ini sahaja dalam tempoh tiga jam kami berjaya memproses dan menjual kira-kira 700 ekor ayam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tinjauan di beberapa lokasi lain pula mendapati rata-rata pelanggan mengeluh apabila harga ayam mula mencecah RM8.50 sekilogram, berbanding RM7 hingga RM7.50 sebelum Ramadan.
Seorang pengguna, Basir Awang Lah, 47, meminta kerajaan memantau kenaikan harga ayam yang terlalu ketara selain tidak seragam, seolah-olah tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE