JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berharap pemberian tambahan 100,000 vaksin Covid-19 kepada individu yang layak berulang alik ke Singapura dapat disegerakan dan tidak tertakluk kepada tarikh pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan berkenaan perkara itu kerana kesemua persiapan bagi melaksanakannya telah dipersiapkan termasuklah penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi telah bersetuju untuk memperuntukkan tambahan 100,000 vaksin bagi mereka yang berhasrat berulang-alik ke Singapura sekiranya sempadan dibuka.
“Ini adalah salah satu daripada usaha yang kerajaan negeri akan terus minta supaya sama ada sempadan dibuka dalam masa terdekat atau tidak, kita harapkan tambahan vaksin itu akan terus diberi. Jika dapat diberi seberapa segera lagi baik,” katanya selepas melawat PPV Dewan Muafakat Johor, Adda Heights, di sini hari ini.
Tambah Hasni, bagi tujuan sama, kerajaan negeri telah membangunkan satu laman web iaitu ‘Johor Immunity Planning System’ (Johor ImmuPlan) khusus bagi individu yang layak untuk menerima 100,00 vaksin itu .
“Mereka yang layak boleh melayari laman web www.immuplan.my dan maklumat diberi akan diintegrasikan dengan aplikasi MySejahtera,” ujarnya.
Hasni turut menjelaskan, antara syarat kelayakan termasuklah individu yang mempunyai permit kerja sah, surat pengesahan majikan dan rakyat Malaysia yang berada di Singapura selain perlu berulang alik ke Johor Bahru.
Sementara itu, Hasni berharap isu pembukaan sempadan akan menjadi topik perbincangan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dalam waktu terdekat ini.
“Selain itu, kita juga harap inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dahulunya membabitkan seramai 2,000 tetapi dikurangkan kepada 400 dapat dikembalikan kepada angka asal. Ini kerana kita dah ada persiapan, makmal yang cukup, tenaga pakar kesihatan cukup untuk uruskan 2,000 atau lebih tanpa masalah.
“Kita hormati pendirian Singapura dalam soal ini. Apa yang penting adalah untuk kita kurangkan kadar jangkitan Covid-19, jika itu dapat dikurangkan saya rasa peluang untuk Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dibuka semula dan PCA dikembalikan kepada jumlah asal lebih cerah,” katanya.
Dua hari lalu, Muhyiddin memaklumkan kerajaan tidak bercadang membuka pintu sempadan negara buat masa ini meskipun perkara itu dilihat dapat membantu memulihkan tahap ekonomi negara selain memudahkan pergerakan rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, biarpun terdapat permintaan dibuat oleh pelbagai pihak untuk membuka pintu sempadan namun perkara itu adalah keputusan yang sangat sukar dilakukan. – UTUSAN ONLINE