GEORGETOWN: Jiran berdekatan rumah mangsa yang maut ditolak suaminya dari tingkap ruang tamu aras 18, Kondominium Bukit Awana, Ayer Itam di sini, kelmarin mendakwa pasangan itu kerap bertengkar sejak kebelakangan ini.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Muthu, 50-an itu berkata, dia juga pernah terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa dari dalam rumah yang disewa mereka sejak lebih setahun lalu.
Malah dakwanya, wanita yang bekerja sebagai ejen insuran itu juga pernah merayu supaya diceraikan selain dihalang suaminya untuk menghubungi seseorang ketika pertengkaran berlaku.
“Saya tidak sangka masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan yang hanya tinggal berdua itu berakhir dengan tragedi kematian isterinya ketika kami (penduduk) sedang nyenyak tidur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Berhubung kejadian berlaku, Muthu memberitahu, dia tersedar daripada tidur sebaik sahaja terdengar dentuman kuat dari arah bawah rumahnya pukul 12 tengah malam.
“Bunyi seperti bom meletup. Saya bergegas turun ke bawah melihat apa yang berlaku. Ketika itu, saya ternampak suami mangsa dalam keadaan gelisah sambil memaklumkan yang isterinya terjatuh selepas ditolak,” katanya.
Terdahulu, mayat S. Primila, 35, ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kira-kira pukul 12.06 tengah malam kelmarin.
Kematian wanita yang bekerja sebagai ejen insurans itu terbongkar selepas suaminya mengaku menolaknya dari tingkap ruang tamu tingkat 18 rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki itu ditahan di lokasi kejadian pukul 12.30 tengah malam selepas setengah jam kejadian berlaku.
“Hasil soal siasat, suspek berusia 35 tahun itu mengaku bertindak sedemikian setelah berlaku pergaduhan. Punca kejadian adalah disebabkan suspek curiga dengan si mati yang ada menjalani hubungan cinta dengan lelaki lain.
“Polis turut merampas dua unit telefon bimbit dan botol mengandungi ketulan kristal serta plastik lut sinar berisi daun kering dipercayai dadah yang digunakan suspek,” jelasnya.
Tambah Soffian, suspek yang didapati positif ganja itu kini ditahan reman selama enam hari sehingga 15 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE