Jho Low, Nik Faisal macai Najib - Pendakwa - Utusan Malaysia

Jho Low, Nik Faisal macai Najib – Pendakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Law Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil adalah `macai’ kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berhubung niat bersama.

Menurut pendakwa raya itu, Jho Low dan Nik Faisal hanyalah `alat’ yang ditugaskan untuk memindahkan wang RM42 juta dari akaun SRC International ke akaun peribadi Najib.

“Dengan jawatannya (Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan), awak (Najib) ada macai untuk melakukannya (memindahkan wang), tetapi, sama ada macai-macai ini tahu mereka sedang melakukan kesalahan, ia tidak pernah dibuktikan,”katanya.

Selain itu, tidak masuk akal apabila perayu (Najib) mendakwa bahawa Jho Low telah menyalah gunakan akaunnya dengan memasukkan wang RM42 juta itu ke dalam akaun peribadinya.

“Siapa yang berani memasukkan wang ke dalam akaun PM (Perdana Menteri) semata-mata untuk mengaburi mata PM bahawa dia (Najib) mempunyai wang yang banyak? Macam mana ini semua satu helah? Perayu yang sedang mengaburi mata orang ramai untuk menguburkan kebenaran sebenar,” katanya.

Dakwaan Najib bahawa beliau tidak mengetahui baki akaun peribadi miliknya juga tidak boleh diterima.

“Sukar untuk dipercayai perayu yang mempunyai akaun dengan baki berjumlah jutaan ringgit tidak mengetahui baki akaunnya. Kalau saya ada akaun bank yang ada jutaan ringgit di dalamnya, saya akan tengok baki akaun itu setiap hari. Kalau tak ada duit, buat apa nak tengok,”ujar Sithambaram.

Tambahnya, tindakan Najib mengeluarkan beberapa keping cek bernilai jutaan ringgit juga menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu tahu baki akaunnya dan mengetahui bahawa Jho Low, Joanna dan Nik Faisal akan memastikan bahawa cek-cek tersebut tidak akan ditendang.

Pendakwa Raya itu berhujah demikian ketika membuat hujahan balas terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, pihak pendakwaan menghujahkan pasukan pembelaan Najib sendiri telah menghancurkan pembelaan mereka apabila mengemukakan transkrip perbualan BBM antara bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping dan Jho Low melalui khidmat pesanan Blackberry (BBM).

Ujar Sithambaram, perbualan antara kedua-dua individu itu hanya menunjukkan bahawa Najib mempunyai pengetahuan mengenai transaksi keluar masuk wang berjumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadi miliknya.

“Pembelaan sering mendakwa (pihak pendakwaan) sering mengubah taktik tetapi melalui transkrip ini, mereka jaringkan gol sendiri,”kata pendakwa itu.

Rayuan yang memasuki hari ke-10 didengar Hakim Datuk KArim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Vazeer bersambung hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya