'Jangan ulang' - Hakim tegur peguam - Utusan Malaysia

‘Jangan ulang’ – Hakim tegur peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil hari ini beberapa kali menegur peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sering mengulangi alasan sama dalam hujahannya.

Bukan setakat mengulangi alasan yang sama, peguam Harvinderjit Singh juga ditegur kerana berhujah di luar bab yang sepatutnya.

“Jangan ulang. Awak asyik mengulangi hujah yang telah dinyatakan oleh Tan Sri (Muhammad Shafee Abdullah). Alasan yang awak nyatakan tadi terkandung dalam bab 4, kalau awak nak hujah alasan dalam bab 4, lebih baik teruskan dengan bab 4 dan bukannya masih di bab 3.

“Kamu semua asyik mengulangi perkara sama sejak tiga hari lalu. Kami (panel hakim) masih menunggu hujahan berhubung pertuduhan. Tunjukkan kepada kami bagaimana hakim bicara terkhilaf dari segi perundangan dan bukan berhujah mengenai bukti,” kata hakim itu.

Harvinderjit selepas ditegur memohon maaf dan menyatakan akan memulakan hujah atas topik baharu. Namun seperti mencurah air ke daun keladi, peguam terbabit masih meneruskan hujah atas topik yang sama.

“Awak ulang lagi. Isu tersebut telah disebut oleh Tan Sri Shafee. Awak tiada pada masa itu tetapi jangan ulang perkara sama,” tegur hakim itu dengan nada sedikit keras.

Mengikut aturan yang ditetapkan, empat hari pertama dikhususkan untuk pihak Najib berhujah sebelum pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam prosiding rayuan ini membuat hujahan balas selama empat hari.

Baki empat hari adalah untuk pihak perayu membalas hujahan pihak pendakwaan. Namun sehingga hari ini, tiada tanda-tanda pihak Najib akan menghabiskan hujahnya seperti yang telah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya