PETALING JAYA: Sebanyak 37 kes penipuan jual barang kemas dalam talian membabitkan kerugian RM239,530 direkodkan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu meningkat berbanding 44 kes direkodkan dengan kerugian RM261,954 sepanjang tahun lalu manakala 21 kes (RM148,444) pada 2019.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, perkembangan teknologi dan komunikasi mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian kerana akses mudah dan tanpa had khususnya ketika negara berdepan penularan Covid-19.
Jelasnya, ini sekali gus menjadikan platform e-dagang pilihan pengguna namun perkembangan ini juga turut mewujudkan jenayah penipuan jualan barangan tidak wujud.
“Kita sudah mengambil langkah efektif serta berkesan bagi membanteras aktiviti itu.
“Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan. Orang ramai digesa untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam urusan jual beli barang kemas secara dalam talian,” katanya di sini hari ini.
Zainuddin turut mengingatkan orang ramai jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barang kemas yang lebih murah daripada pasaran semasa terutama apabila dijual oleh pihak tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Tambahnya, orang ramai boleh berhubung dengan CCID (JSJK) Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan berkaitan aktiviti jual beli dalam talian.