Jangan putar belit isu larangan sembelihan di premis MBPP - Utusan Malaysia

Jangan putar belit isu larangan sembelihan di premis MBPP

JAGDEEP Singh Deo ketika sidang akhbar mengenai isu pusat penyembelihan dan pengedaran ayam di pasar awam Taman Free School, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pihak diingatkan tidak terus memutar belit fakta mengenai larangan aktiviti penyembelihan di premis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang akan dikuat kuasakan Jun nanti. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan

Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, dasar berkenaan telah dilaksanakan di negeri-negeri lain selaras ketetapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

“Objektif utama dasar ini ialah untuk memastikan bekalan ayam segar dijual kepada pengguna, bukan ayam yang disejuk beku seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya dalam sidang akhbar di pasar awam Taman Free School, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang membantah pelaksanaan larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP kerana didakwa akan menyebabkan berlakunya monopoli bekalan ayam terhadap peniaga. 

MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa. 

MBPP juga bersetuju menangguhkan penguatkuasaan larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP sehingga hujung bulan depan bagi memberi lebih banyak masa kepada peniaga untuk melakukan persediaan. 

Menurut Jagdeep, setakat ini seramai 115 daripada 177 pelesen telah menyatakan komitmen untuk mematuhi dasar berkenaan serta bersetuju menyimpan ayam segar di dalam chiller (peti sejuk) ketika menjalankan aktiviti jual beli di pasar. 

“Kita akan terus berbincang bagi memastikan peniaga faham mengenai perkara ini supaya mereka tahu kepentingan membekalkan ayam segar kepada pengguna,” katanya. 

Dalam perkembangan lain Jagdeep berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di bazar-bazar Ramadan di negeri ini adalah 99.92 peratus di bahagian pulau dan 99.9 peratus di Seberang Perai. 

“Kadar ini membuktikan rakyat negeri ini berdisplin dan bertanggungjawab memastikan bazar Ramadan selamat untuk dikunjungi. 

“Kita berikan kebebasan untuk peniaga berniaga di bazar, namun kebebasan datang dengan tanggungjawab memastikan SOP dipatuhi, saya harap semua pihak dapat kekal patuh dengan SOP pencegahan Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya