Jangan jadikan SPR kambing hitam - Utusan Malaysia

Jangan jadikan SPR kambing hitam

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai ‘kambing hitam’ untuk tidak menguatkuasakan undang-undang membenarkan rakyat negara ini yang berusia 18 tahun mengundi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sebaliknya kerajaan PN perlu bertanggungjawab apatah lagi ia sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan Diraja selain sudah diwartakan.

“Dalam isu undi 18 tahun ini, bolehkah kerajaan PN tolak ‘bola’ ini kepada SPR. PN tidak boleh tolak perkara ini kepada pihak lain kerana ini tanggungjawab kerajaan semasa untuk mewarisi keputusan Parlimen dan ianya perlu dilaksanakan.

“SPR hanya sebuah suruhanjaya, bukan eksekutif dan bukan kerajaan. Yang jadi kerajaan ialah PN yang kuasanya sekarang hampir ‘unlimited’ atau tak terbatas di bawah ordinan darurat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman SPR Khamis lalu bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada 18 tahun dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Hassan turut berkata, PN kini mewarisi undang-undang terpenting kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu membenarkan rakyat berumur 18 tahun dan ke atas mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) di negara ini.

Jelasnya, rang undang-undang pindaan Perlembagaan undi 18 tahun itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga sokongan di Parlimen, malah mendapat persetujuan sebulat suara daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

“Jadi tidak ada dalih kerajaan semasa yang memerintah untuk tangguh. Kerajaan PN tidak ada pilihan dan undang-undang undi 18 tahun mesti dilaksanakan.

“Sebagai perbandingan, hal ini sama dengan kes projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura yang bermula pada zaman Barisan Nasional (BN) berkuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila BN tumbang dan PH berkuasa, maka kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa pikul tanggungjawab uruskan perjanjian projek HSR tersebut.

“Apabila kerajaan PH tumbang, maka kerajaan PN pula sambung pikul projek berkenaan, namun apabila kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin batalkan projek HSR, maka kerajaan terpaksa bayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada Singapura,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya