KUALA LUMPUR: “Niat harus ikhlas dan jangan jadi macam katak. Melompat-lompat. Kalau nak ceburi, buatlah sungguh-sungguh. Jangan hanya mengimpikan bulan bintang. Kena realisitik.”
Demikian nasihat penyanyi, Aishah kepada golongan artis yang mahu terjun ke dunia politik agar tidak bersifat seperti katak yang suka melompat-lompat demi kepentingan diri.
Jelasnya, apabila bergelar ahli politik, kepentingan rakyat adalah keutamaan dan sifat setia perlu ada supaya tidak dicemuh masyarakat yang percaya serta mengundi.
“Baguslah kalau ada anak seni yang nak masuk dunia politik. Sekurang-kurangnya ada yang membawa suara industri. Tetapi perlu diingat, cabarannya bukan mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aishah sebelum ini pernah bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) namun tewas kepada Tan Sri Mohd. Isa Samad.
Jelas Aishah, bergelar ahli politik bukan satu tugas mudah dan perlu bersedia dengan badai ombak apabila selangkah memikul tanggunjawab itu kelak.
“Kalau sudah fikir masak-masak, segala kemungkinan, jadi teruskan. Banyak yang harus kita ‘korbankan’. Peminat dan kerjaya semuanya belum pasti akan kekal. Jadi kena fikir sedalam-dalamnya.
“Malah kita kena tahu tak semua akan bersetuju dengan pendapat kita,” katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi menasihatkan golongan artis yang mahu menceburi bidang politik supaya bersedia untuk ‘bersilat’ sekiranya berdepan dengan serangan dan tohmahan.
“Nak jadi orang politik kena berpegang pada peribahasa ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Maksudnya kena sentiasa bersedia dengan cabaran yang tentunya lebih besar.
“Sebab itulah saya pesan kena pandai ‘bersilat’. Kalau jadi artis selama ini pun bila kena hentam sikit dah merajuk, macam mana nak pegang jawatan yang lebih tinggi? Itu semua tanggungjawab,” katanya.