Jangan harap nak kutip penalti cukai -Najib - Utusan Malaysia

Jangan harap nak kutip penalti cukai -Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima notis muflis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan enggan membayar kutip penalti cukai tambahan RM1.74 bilion seperti dikenakan terhadap beliau.

Jelas Najib, beliau tidak mempunyai wang sebanyak RM1.74 bilion untuk membayar penaliti tersebut.

“Jangan harap nak kutip penalti cukai tambahan RM1.74 bilion yang tak wajar dari saya sebab saya tiada wang sebanyak RM1.74 bilion untuk bayar,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Pada awal bulan April, Ahli Parlimen Pekan itu didatangi wakil LHDN untuk menyerahkan notis muflis berkaitan ringkasan penghakiman cukai pendapatannya dari 2011 hingga 2017.

Agensi itu sebelum ini memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, pada Julai tahun lalu.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Terdahulu, Najib menjelaskan kutipan cukai langsung LHDN pada 2018 dan 2019 adalah jauh lebih tinggi berbanding 2017 meskipun ramai yang mengadu bahawa LHDN terlalu agresif mengutip cukai daripada rakyat pada masa ekonomi semakin jatuh disebabkan kerajaan ingin mengantikan hasil cukai barang and perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan kerajaan PH.

Jelasnya, semasa ekonomi berkembang pesat pada 2017 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kutipan cukai LHDN adalah sebanyak RM123 bilion.

Malah ujar beliau, jumlah kutipan naik lebih RM140 bilion pada 2019 walaupun pertumbuhan ekonomi jatuh ke paling rendah dalam tempoh 10 tahun dan terus menjunam ke RM123 bilion pada 2020 lepas akibat pandemik.

“Namun, sasaran kutipan LHDN bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinaikkan semula ke RM144 bilion untuk 2021 iaitu hampir sama dengan 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dan jauh melebihi kutipan RM123 bilion pada tahun 2017 semasa ekonomi berkembang pesat.

“Adakah ianya realistik bahawa pendapatan orang ramai pada 2021 ini akan memulih kepada paras tahun 2019 sedangkan Covid-19 masih melanda dan pada ketika gaji permulaan graduan sudah jatuh ke bawah paras gaji minimia dan beberapa sektor utama negara seperti sektor penerbangan dan sektor pelancongan masih lumpuh?

“Ataupun kerajaan PN akan lebih agresif untuk mengutip cukai daripada rakyat berbanding kerajaan PH dahulu dengan menggunakan pendekatan ‘bayar dulu, bincang kemudian’ terhadap rakyat seperti warta baharu kerajaan pada bulan Disember 2020 dan setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dedahkan bahawa kerajaan tidak banyak wang lagi setelah PN belanja RM600 bilion?,” soal beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya