Jambatan lama rosak, penduduk bimbang berdepan ancaman keselamatan - Utusan Malaysia

Jambatan lama rosak, penduduk bimbang berdepan ancaman keselamatan

SEBAHAGIAN penduduk bergotong-royong membaik pulih jambatan anak Sungai Beletir yang rosak sebagai laluan sementara di Kampung Sungai Putat di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 1,000 penduduk di tiga kampung di daerah ini menyambut Ramadan dengan kesukaran berikutan jambatan kecil Sungai Beletir di Kampung Sungai Putat dekat sini rosak teruk dan membaha­yakan keselamatan orang ramai termasuk pelajar berulang-alik ke sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk kampung, Mohd. Zain Awang, 50, berkata, jambatan itu merupakan laluan utama penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Su­ngai Yap ke bandar Jerantut me­ngalami kerosakan sejak beberapa tahun lalu.

“Musim pejur awal bulan ini menyebabkan banjir dan jambatan separa konkrit ini rosak teruk bermula di bahagian bawah lantai yang pecah dan mendap sekali gus berbahaya kepada kenderaan yang kerap berulang-alik ke bandar
Jerantut dan pelajar bersekolah di Felda Padang Piol.

“Mahu tidak mahu, seramai 50 penduduk tiga buah kampung ini menyambut awal bulan puasa kali ini bergotong-royong membaik pulih jamba­tan ini menggunakan batang kelapa dan kayu hutan,” katanya semalam.

Menurut Mohd. Zain, walaupun sebagai laluan sementara, namun mereka tidak yakin dengan ketahanan jambatan itu yang boleh mengundang bahaya kepada kenderaan muatan penumpang dan hasil kampung seperti kelapa sawit dan getah.

Katanya, sebelum ini jambatan anak Sungai Beletir pernah dibaik pulih secara gotong-royong menerusi kutipan wang sumbangan penduduk tetapi tidak tahan lama dan rosak apabila kerap dilalui kenderaan dan ancaman musim pejur.

“Beberapa tahun lalu, jambatan ini juga pernah dibina baharu di bawah projek Pembangunan Luar Bandar sehingga rosak teruk selepas dilanda banjir baru-baru ini.

“Senario ini menyebabkan kesukaran penduduk menghantar hasil sawit dan getah termasuk berbelanja ke bandar Jerantut manakala pelajar berulang-alik ke sekolah di Felda Padang Piol terpaksa menggunakan jalan alternatif di Kampung Gajah Mati yang jauh,” katanya.

Beliau berkata, penduduk di situ berharap kerajaan segera membina jambatan konkrit baharu dan kukuh kerana mahukan kemudahan yang selesa seperti di tempat lain serta demi keselamatan mereka.

Tambahnya, kerosakan jambatan itu juga menyebabkan penduduk tidak dapat keluar berbelanja di bandar Jerantut termasuk barang keperluan dapur.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya