GUA MUSANG: Hasrat 1,000 penduduk Kampung Batu Enam di sini untuk menggunakan jambatan baharu menjelang Hari Raya Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila jambatan yang sedang dalam pembinaan itu runtuh dihanyutkan arus deras, Khamis lalu.
Difahamkan, jambatan yang dibina merentasi Sungai Galas itu runtuh pada malam Khamis lalu akibat banjir kilat.
Seorang penduduk, Kua Eh Say, 57, berkata, jambatan itu dipercayai runtuh antara pukul 11 malam sehingga 1 pagi ketika hujan lebat yang menyebabkan paras air sungai meningkat dan mengalir deras.
Katanya, kebanyakan penduduk hanya menyedari kejadian tersebut ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.
“Kita menjangkakan jambatan ini dapat disiapkan dalam masa terdekat, jadi, dapatlah kami menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menggunakan jambatan baharu.
“Sebenarnya, jambatan baharu ini sudah dinanti hampir setahun lalu kerana jambatan lama sudah musnah disebabkan musibah banjir kilat, sekarang harapan penduduk hanya tinggal harapan sajalah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab. Aziz Yusoff yang turun meninjau lokasi kejadian berkata, pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi membina semula jambatan secepat mungkin.
Katanya, sebelum ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina jambatan baharu itu, menggantikan jambatan konkrit yang runtuh pada pertengahan tahun lalu akibat banjir.
“Reka bentuk jambatan yang baharu nanti akan dibuat bersesuaian bagi memudahkan pengaliran arus sungai dan sisa kayu yang hanyut tidak tersangkut.
“Kita berharap agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat meneruskan projek jambatan ini bagi kemudahan perhubungan penduduk Kampung Batu Enam dan Batu Lima,” katanya. -UTUSAN ONLINE