Jambatan Compact Bailey di Kampung Sungai Putat - Utusan Malaysia

Jambatan Compact Bailey di Kampung Sungai Putat

NAZRI Ngah (depan, kiri) bersama wakil Pemerintah Tentera Kem Batu 5, Mentakab (kanan) meninjau jambatan Sungai Beletir yang rosak bagi menggantikan jambatan Compact Bailey di Kampung Sungai Putat di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pembinaan jambatan Compact Bailey menyeberangi Sungai Beletir bakal direalisasikan segera bagi menggantikan jambatan batang kelapa dan kayu di Kampung Sungai Putat, dekat sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau bersama wakil Pemerintah Tentera Kem Batu 5, Mentakab, telah melawat tapak jambatan kecil Sungai Beletir, Kampung Sungai Putat bagi kerja pembinaan tersebut yang dilakukan anggota tentera tidak lama lagi.

“Aduan penduduk Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap tentang kesukaran mereka keluar ke bandar Jerantut dan sekolah di Felda Padang Piol saya utarakan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan jambatan baharu.

“Menteri berkenaan bersimpati dengan masalah penduduk di sini lalu segera meluluskan pembinaan jambatan Compact Bailey sebagai alternatif bagi menggantikan laluan (jambatan) yang dibina menggunakan batang kelapa dan kayu hutan secara bergotong-royong pada minggu lalu,” katanya kepada pemberita di Sungai Putat di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 14 April lalu melaporkan penduduk Kampung Sungai Putat bergotong-royong menyiapkan jambatan Sungai Beletir menggunakan batang kelapa dan kayu hutan apabila jambatan separa konkrit yang lama rosak dan mendap akibat dilanda banjir.

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, apabila siap jambatan baharu nanti, penduduk di tiga buah kampung kawasan itu dapat berulang alik ke bandar serta pelajar ke sekolah dengan selesa dan selamat.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan penduduk di sini, saya melahirkan penghargaan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana cakna terhadap aduan ini serta mengambil tindakan segera membina jambatan yang lebih kukuh bagi menggantikan struktur binaan daripada batang kelapa dan kayu hutan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Putat, Mohd. Zain Awang, 50, berkata, dia dan penduduk gembira dengan bantuan kerajaan membina jambatan Compact Bailey di Sungai Beletir kampung tersebut.

“Kami merayu supaya segera dibina jambatan baharu ini sebelum Hari Raya Aidilfitri memandangkan hampir 1,000 orang penduduk di tiga buah kampung sangat mengharapkan kemudahan ini untuk berulang alik ke bandar selain bagi kegunaan pelajar ke sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN