Jambatan besi ganti batang kelapa - Utusan Malaysia

Jambatan besi ganti batang kelapa

ANGGOTA tentera dari Kor Jurutera Kem Terendak, Melaka dan Kem Batu 3, Temerloh mula menyiapkan pembinaan jambatan Compact Bailey di Kampung Sungai Putat di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kesukaran ditempuh kira-kira 1,000 penduduk di tiga kampung akhirnya selesai apabila sebuah jambatan besi atau Compact Bailey dibina menyeberangi Sungai Beletir, di Kampung Sungai Putat dekat sini.

Jambatan besi berukuran 24 meter panjang dan lima meter lebar yang menghubungkan Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap dibina oleh seramai 80 anggota tentera dari Rejimen Kor Jurutera Diraja, KemTerendak, Melaka dan Kem Batu 3 di Temerloh, dekat sini.

Pembinaan jambatan itu diketuai Kolonel Mohd. Hanapiah Harun dari Kem Terendak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, pembinaan jambatan berkenaan menggantikan laluan yang dibuat dengan batang kelapa dan kayu hutan dibina penduduk sebagai alternatif apabila jambatan lama separa konkrit rosak akibat banjir awal tahun ini.

“Berikutan permukaan separa konkrit yang rosak dan berlaku mendapan, penduduk bimbang akan keselamatan ketika berulang-alik ke bandar lalu mengambil inisiatif bergotong-royong membina jambatan batang kelapa dan kayu hutan.

“Keadaan jambatan batang kelapa dan kayu hutan juga tidak dijamin kukuh serta membahayakan pengguna termasuk pelajar ke sekolah di tiga buah kampung ini,” katanya di Kampung Sungai Putat, dekat sini hari ini.

Mohd. Zakhwan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah turut melawat dan meninjau kerja pembinaan jambatan berkenaan.

Mohd. Zakhwan yang juga Ketua Pemuda Pas Pahang berkata, beliau berterima kasih kepada Nazri dan kerajaan negeri kerana mengemukakan permohonan pembinaan jambatan besi kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diluluskan serta-merta pembinaannya memandangkan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Nazri dan kerajaan negeri kerana cakna dengan masalah perhubungan penduduk di sini apabila bertindak segera sehingga jambatan besi direalisasikan,” katanya.

Sementara itu Nazri yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, dengan pembinaan jambatan baharu itu, penduduk boleh memunggah sawit dan getah ke pusat jualan tanpa bimbang dengan faktor keselamatan manakala dapat berbelanja keperluan dapur di bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri di bandar Jerantut dengan lebih selesa.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Sungai Putat, Mohd. Zain Awang, 50, berkata, dia serta penduduk berasa lega kerana tidak lagi menempuh laluan yang jauh untuk ke bandar Jerantut.

“Dapatlah kami berziarah sanak saudara di tempat lain atau ahli keluarga kembali menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Apapun kita berharap kerajaan dapat membina jambatan konkrit baharu yang lebih lebar dan kukuh pada masa akan datang memandangkan penduduk di sini ramai serta keselesaan memunggah hasil kampung ke bandar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya