IPOH: Segelintir pengusaha restoran di negeri ini dikesan menyediakan khidmat menerima tempahan untuk golongan ‘plastik hitam’ mendapatkan makanan sepanjang Ramadan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin (gambar) berkata, makanan ditempah awal menerusi telefon sebelum diambil secara pandu lalu.
Menurut beliau, modus operandi itu biasanya digunakan pelanggan tetap restoran berkenaan.
“Selain pandu lalu, ada juga yang hubungi kedai dan buat pesanan sebelum mereka datang mengambil makanan yang dibungkus dalam plastik hitam.
“Memang ada kedai yang menjual makanan kepada golongan tidak berpuasa ini. Peniaga ini berselindung di sebalik pelbagai alasan termasuk beli makanan untuk opah dan datuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, JAIPk telah mengenal pasti beberapa ‘sarang’ ponteng puasa di semua daerah di negeri ini termasuk beberapa lokasi di Ipoh yang dikaitkan dengan aktiviti ‘plastik hitam’.
Katanya, lebih 100 penguat kuasa ditugaskan bagi melakukan pemantauan dan rondaan di premis-premis dikenal pasti termasuk di lokasi-lokasi sunyi seperti kubur dan taman.
“Saya menasihatkan pengusaha restoran jangan bersubahat dengan menyediakan ruang tertentu atau tirai untuk pelanggan yang tidak berpuasa.
“Bagi mereka yang menjual, tanya pelanggan itu makanan yang dibeli untuk siapa dan nasihatlah untuk berpuasa. Kita minta mereka agar sama-sama bantu kerja dakwah,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi sebelum ini banyak yang ditahan tidak berpuasa dan makan di tempat awam terdiri dalam kalangan mereka yang berusia.
“Saya minta umat Islam jaga maruah dan agama. Kita tidak mahu agama Islam tercemar dengan pandangan masyarakat bukan Islam terhadap perlakuan tersebut,” katanya.