GEORGETOWN: Orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan di negeri ini diingatkan sentiasa menjaga displin dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada penularan pandemik Covid-19 sepanjang bazar berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab sepenuhnya ketika berada di bazar Ramadan kerana peperangan melawan pandemik Covid-19 belum berakhir.
“Covid-19 ini kalau seorang dapat, wabak ini tidak peduli, akan merebak pada orang ramai.
“Kita perlu patuh SOP ketika berada di bazar Ramadan. Memang akan ramai orang, kita boleh buat pemantauan tetapi memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan SOP ini dipatuhi,” katanya di sini hari ini.
Pulau Pinang membenarkan penganjuran bazar Ramadan bermula hari ini dengan SOP ketat yang mana hanya pembelian makanan dan minuman dibenarkan di bazar bermula pukul 3 petang hingga 8 malam.
Menurut Jagdeep, penganjuran bazar Ramadan diperlukan bagi membantu merancakkan semula ekonomi para peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Ekonomi dan kesihatan perlu berjalan seiring terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
“Kita tidak boleh membiarkan pandemik Covid-19 melumpuhkan ekonomi kita, namun soal kesihatan juga perlu kita jaga dengan pastikan pandemik ini tidak merebak,” katanya. – UTUSAN ONLINE