'Itu pendirian UMNO Perlis, bukan peribadi' - Utusan Malaysia

‘Itu pendirian UMNO Perlis, bukan peribadi’

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Keputusan untuk bekerjasama dengan parti-parti politik bumiputera termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini adalah pendirian Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, keputusan itu bukan bersifat peribadi seperti didakwa Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man.

Shahidan berkata, selain Arau dan Padang Besar, pendirian UMNO Bahagian Kangar juga adalah sama malah turut mengemukakan cadangan tambahan agar seseorang pemimpin itu mesti berintergriti selain tidak ada kes mahkamah.

“Ini bukan peribadi (kerjasama dengan Bersatu) sebaliknya keputusan UMNO Perlis. Pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu adalah sewaktu pilihan raya bukan sekarang.

“Kalau sekarang, maka terbubarlah kerajaan. Saya tetap dengan pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pergerakan wanita UMNO di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini.

Azlan ketika diminta mengulas mengenai keputusan UMNO Bahagian Kangar menyokong menolak kerjasama dengan Bersatu yang dilihat tidak selari dengan pendirian Shahidan baru-baru ini dilaporkan berkata, perkara itu adalah pendirian peribadi Shahidan.

Kata Azlan, sebagai ahli parti, beliau menghormati keputusan dibuat di peringkat tertinggi parti iaitu menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Azlan, pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu adalah keputusan konsensus Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan diabsahkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

“Pendirian Kangar adalah menghormati keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi. Jika ada pendirian berbeza, itu adalah pandangan peribadi individu berkenaan,” kata Azlan baru-baru ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desas-desus beliau bakal digantikan dengan Azlan sebagai Pengerusi UMNO Perlis, Shahidan menegaskan, tidak ada sebarang desas-desus dan apa salah beliau untuk digugurkan sebagai Pengerusi UMNO Perlis.

“Kalau saya melakukan kesalahan berat tidak mengapa, ini apa salah saya? Saya hanya memberi pandangan ketika ini bukan ketika pilihan raya (bekerjasama dengan Bersatu),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya