GEORGETOWN: Kerajaan Pusat khususnya kementerian berkaitan perlu campur tangan dan memainkan peranan dalam menyelesaikan kemelut pertikaian isu air antara Kerajaan Pulau Pinang dan Kedah ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk merujuk isu itu kepada hak riparian (riparian water rights) atau hak pemilik tanah di tebing sungai untuk menikmati manfaat sumber semula jadi tersebut sebagaimana diiktiraf peringkat konvensyen antarabangsa.
Jelas beliau, secara prinsipnya negara atau negeri di hulu boleh menggunakan air (sungai) dengan mengambil kira hak yang sama negara atau negeri-negeri lain di hilir untuk mengambil (air mentah) dari sungai itu.
“Atas prinsip itu, Kedah ada hak dan sudah membina beberapa empangan di empat lokasi sepanjang Sungai Muda dan juga membina rumah-rumah pam untuk mengambil air (mentah) bagi tujuan rawatan (air bersih).
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula mengambil air (mentah) menerusi Rumah Pam Lahar Tiang iaitu lokasi yang terakhir (di hilir Sungai Muda) untuk mengambil air mentah yang akan pergi ke laut,” katanya di sini hari ini.
Ujar Kon Yeow, kenyataan Menteri Besar Kedah sebelum ini seperti mahu melencongkan sumber air mentah sungai dari masuk ke Pulau Pinang dan membina struktur supaya rakyat Pulau Pinang hanya minum air selut adalah tidak menghormati prinsip hak reparian tersebut.
“Sehubungan itu, kita berharap kementerian yang bertanggungjawab dapat memainkan peranannya dalam isu ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE