PUTRAJAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilihat penyelamat parti jika beliau membangkitkan desakan ramai pihak pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Ahad ini agar UMNO membuat keputusan tetap mengadakan pemilihan, Jun ini.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, sebagai pemegang jawatan tertinggi dalam UMNO selain Presiden dan Timbalan Presiden, Ismail Sabri boleh berbuat demikian supaya parti mempunyai pasukan kepemimpinan baharu melalui pemilihan itu nanti.
Ini kerana katanya, hanya melalui kepemimpinan baharu mampu memperteguhkan dasar parti untuk tidak ada kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebagaimana disuarakan ahli akar umbi, apatah lagi perkara itu sudah pun dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.
Jelasnya, ramai sudah meragui tindakan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid untuk terus mempertahankan dasar No Anwar, No DAP setelah tersebar rakaman audio perbualan beliau dengan Presiden PKR itu.
“Jadi, kalau ada desakan oleh Ismail Sabri, ia adalah berasas kerana UMNO perlu menentukan dahulu barisan kepemimpinan baharu sebelum berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sebelum ini, banyak desakan lain bahawa pemilihan perlu disegerakan seperti suara dari ketua bahagian, ketua pemuda bahagian yang mempunyai autoriti bercakap dan perkara ini harus dipercepat oleh UMNO.
“Ini penting bagi memulihkan kepercayaan dan keyakinan ahli-ahli UMNO seterusnya rakyat akan memberi keyakinan kepada UMNO kerana pasukan baharu ini dilihat mampu kembali menjadi parti terkuat pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemilihan UMNO wajar dilakukan secepat mungkin kerana UMNO tidak tahu bila PRU-15 akan diadakan dan parti sedang berhadapan masalah hala tuju apabila secara dasarnya perwakilan parti menetapkan penegasan bahawa tidak ada sebarang bentuk kerjasama antara Anwar dan DAP.
Katanya, perkara itu menjadi usul dalam perhimpunan lalu, namun apabila muncul rakaman audio perbualan Ahmad Zahid dan Anwar, maka parti menghadapi masalah hala tuju.
“Adakah selama hari ini penjajaran baharu yang disebut Presiden itu bermaksud bahawa satu kerjasama ingin diwujudkan dengan Anwar dan DAP walaupun Presiden menyedari ia menjadi ketetapan dan satu syarat ahli di bawah yang tidak mahu kerjasama tersebut.
“Adakah Presien sendiri melanggar amanat tersebut apabila tersebarnya rakaman audio itu,” soalnya.
Mesyarat MT pada 25 April ini bakal membincangkan soal pemilihan parti selain menentukan hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada hujung bulan lepas sebulat suara memberikan mandat kepada MT untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.
Bagaimanapun, Ismail Sabri mengkritik Perhimpunan Agung lalu sebagai paling teruk dalam sejarah politik UMNO apabila ada tikam-menikam sesama sendiri. -UTUSAN ONLINE