SEREMBAN: Cadangan kerajaan untuk menambah permit import (AP) ayam hanya akan mendatangkan kerugian kepada pembekal dan penternak ayam tempatan memandangkan isu utama kenaikan harga ayam adalah disebabkan oleh kenaikan harga dedak.
Seorang pembekal dan penternak ayam, Amirul Aqmal Razarudin, 29, berkata, kerajaan sebaliknya perlu mempertimbangkan untuk mengimport bahan mentah untuk membuat dedak dengan kos yang lebih murah.
“Situasi sekarang bukan ayam tidak cukup, tetapi, harga dedak terlampau tinggi dengan kenaikan harga RM1.50 setiap minggu.
“Contoh di Kuala Pilah, harga seguni dedak 50 kilogram (kg) mencapai harga RM124. Minggu lepas, saya beli dedak di Mantin dengan harga RM114 untuk 50 kg dan minggu ini harga dedak naik kepada RM115.50 (50kg),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Amirul Aqmal berkata, dia juga berdepan kesukaran untuk menjual ayam kepada pemborong dan pembeli apabila harga dedak berubah setiap minggu.
“Jika kerajaan hendak bantu rakyat, bantu dengan mengimport bahan mentah yang lebih murah untuk dedak, maka, harga ayam juga akan terkawal.
“Jika harga ayam yang diimport lebih murah di pasaran, macam mana dengan nasib penternak tempatan,” katanya lagi.
Media hari ini melaporkan kerajaan bercadang untuk menambah AP ayam sekiranya golongan penternak masih berdegil untuk menurunkan harga barang basah itu yang kini dijual sehingga RM10 sekilogram di pasaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang menguruskan AP tersebut.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah gerai menjual ayam di Seremban 2, dekat sini mendapati ayam yang dijual kepada pelanggan berharga RM9 bagi setiap kilogram.
Peniaganya, Shariff Subandi berkata, dia tidak mempunyai pilihan untuk menaikkan harga ayam kerana pemborong sudah menjual dengan harga yang agak tinggi iaitu pada harga RM7 sekilogram.
“Kami beli dari pihak pemborong jadi harga yang jual juga sudah tinggi dan kami terpaksa naikkan harga sebanyak RM9 bagi sekilogram ayam.
“Ada peternak yang memaklumkan harga dedak tinggi, jika dahulu mereka membeli RM100 namun kini meningkat sebanyak RM130 bagi bekalan dedak. Kesannya, harga ayam makin tinggi lebih-lebih lagi ketika Ramadan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya telah mengeluarkan 22 Notis 21 terhadap pembekal dan peruncit ayam mentah yang mengenakan harga tinggi, setakat ini.
“Setakat ini sebanyak dua notis telah dikeluarkan kepada pembekal dan 20 notis kepada peruncit manakala pihak kami ada menerima satu aduan mengenai kenaikan harga ayam iaitu pada 18 April lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE