Ibu tunggal dapat Proton Iswara - Utusan Malaysia

Ibu tunggal dapat Proton Iswara

DIZI YARNA Muhammad mencuba kereta Proton Iswara yang diterimanya sambil dilihat Shikh Muhammad Makhdad Haron. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu tunggal anak lima tidak menyangka kepayahan ditanggungnya selepas kenderaan digunakan untuk mencari rezeki musnah dalam kemalangan, mendapat perhatian masyarakat yang sudi menyumbang sebuah Proton Iswara terpakai buatnya.

Menurut Dizi Yarna Muhammad, 43, kereta lama miliknya dari model sama diisytihar musnah sepenuhnya selepas terbabit dalam dua kemalangan di sekitar Bukit Beruang di sini, pada awal bulan lalu.

Katanya, susulan itu, dia yang sebelum ini mencari rezeki dengan menjual kuih-muih tidak dapat meneruskan perniagaan sehingga terputus bekalan makanan.

“Selepas berpisah dengan bekas suami, saya dan anak-anak hilang tempat berteduh sehingga kami diselamatkan oleh adik saya yang membenarkan kami tinggal di rumah inapnya.

“Satu-satunya harta benda yang saya ada adalah kereta lama itu. Namun, selepas terlibat kemalangan, kereta tersebut diisytihar total lost dan saya hanya mendapat wang jualan besi kenderaan sebanyak RM500,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Dizi Yarna, bagaimanapun, hasil jualan besi itu telah digunakan untuk rawatan anak perempuannya berusia 11 tahun yang menghidap sawan dan menampung perbelanjaan harian kerana tidak lagi boleh berniaga.

“Saya ada juga cuba membawa barang-barang berniaga termasuk payung besar dengan berjalan kaki, namun, tidak terdaya kerana belakang saya masih sakit kesan kemalangan bulan lalu.

“Kemudian adik saya ada beritahu, ada pihak mengiklankan di Facebook untuk memberi kereta kepada yang memerlukan, jadi, saya hubungi individu tersebut dikenali Pak Ngah dan berjumpanya dengan membawa sedikit wang,” ujarnya.

Jelasnya, dia tidak menyangka kereta itu diberikan kepadanya dua hari lalu secara percuma oleh pemiliknya, malah, turut dibantu bagi pembaikan yang diperlukan.

Sementara itu, Pak Ngah atau nama sebenarnya Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48, berkata, kereta tersebut merupakan harta infak yang diberikan oleh seorang individu dari Krubong.

“Saya mula menjalankan amalan membantu ini sejak 2017 lagi dan baru-baru ini sayaterlihat kepayahan sekeluarga menaiki motosikal lima beranak dan terdetik dalam hati saya untuk membantu memberikan kereta pada yang memerlukan.

“Jadi, saya uar-uarkan perkara itu dalam Facebook dan ada yang sudi menginfakkan sebuah kereta. Melihat kepayahan ditanggung Dizi Yarna, saya sampaikan amanah itu kepadanya demi meringankan beban ditanggung mereka sekeluarga,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN