Ibu sayu lalui Ramadan teringat anak - Utusan Malaysia

Ibu sayu lalui Ramadan teringat anak

Kenangan Marlina bersama arwah anaknya, Muhammad Aisy Harraz awal tahun ini. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang ibu sayu melalui Ramadan pada tahun ini mengenangkan anaknya, Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, yang tidak lagi bersamanya selepas maut bersama tiga lagi saudaranya dalam kemalangan di Jalan Tras Bentong-Raub, Mac lalu.

Menurut Marlina Muid, 35, antara juadah kegemaran anak keduanya itu ialah roti john dan dia pasti akan membelinya setiap kali pergi ke bazar Ramadan.

“Apabila terkenangkan makanan kegemarannya arwah, hati menjadi sebak dan air mata terus berlinang.

“Malah, sebelum pemergian arwah, dia ada meminta gula-gula kegemarannya tetapi saya tidak sempat membelinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 29 Mac lalu, Muhammad Aisy Harraz dan dua ibu saudaranya, Marlianna,37, dan Marlia,36, serta sepupunya, Muhammad Faizz Aryan Mohd. Faizuddin merupakan anak Marlia maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub.

Dalam nahas pukul 3.43 pagi itu, kenderaan Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan lori pengangkut kenderaan jenis Scania. Kemalangan berlaku selepas mereka menghadiri majlis perkahwinan salah seorang adiknya, Muhammad Azwan di Kota Bharu, Kelantan.

Marlina berkata, majlis perkahwinan adiknya kenangan terakhir mereka sekeluarga memakai pakaian berwarna sedondon.

Malah, katanya, mereka juga bersetuju untuk memakai baju yang sama untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Namun segalanya tidak kesampaian dan kini tiada lagi keriuhan kami sekeluarga berbincang untuk pergi bersama ke bazar Ramadan pada tahun ini.

“Akibat kejadian, ibu sehingga kini masih sedih dan kini kurang sihat kerana sakit di bahagian hati,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Marlina, Zabaidah Talib,60, ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Bayu Morib berkata, dia tidak menyangka akan kehilangan empat anggota keluarga serentak termasuk dua anak perempuan yang tinggal bersamanya.

“Marlianna seorang guru dan masih bujang dan Marlia pula ibu tunggal dengan seorang anak. Ketiganya pergi serentak meninggalkan saya kesepian di rumah ini.

“Sepanjang Ramadan, mereka berdua akan sibuk memasak dan mencari pelbagai juadah untuk berbuka. Marlianna pula akan membawa kami sekeluarga jika ada tempat makan yang sedap,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN