SUNGAI PETANI: Seorang ibu lima anak yang berusia 29 tahun merupakan antara 17 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda dalam Op Cegah di sebuah rumah di taman perumahan di Sungai Petani semalam.
Op Cegah dilakukan di sekitar Sungai Petani, Sungai Lalang, Gurun, Merbok, Sungai Layar dan Bukit Selambau di sini bermula pukul 9.30 pagi hingga 10 malam.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki di rumah sama.
“Rumah tersebut disyaki menjadi sarang penagihan dadah bersama penagih lain untuk melepaskan gian masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri empat anak yang dipercayai penagih dadah di sebuah rumah di kawasan Sungai Layar.
Tambahnya, kesemua 17 individu termasuk empat wanita yang ditahan berusia antara 21 hingga 44 tahun.
“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin dengan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.- UTUSAN ONLINE