Ibu bapa bertemu anak di asrama punca penularan Covid-19 di sekolah 

Ibu bapa bertemu anak di asrama punca penularan Covid-19 di sekolah 

MOHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kanak-kanak istimewa pada majlis berbuka puasa bersama warga PDRM Kontinjen IPK Kedah di Alor Setar, malam semalam. - FOTO/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan segelintir ibu bapa bergejala bertemu dengan anak mereka di asrama bagi menghantar makanan merupakan punca penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar di Baling, baru-baru ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihak sekolah dan jabatan pendidikan negeri sebelum ini telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bertujuan menghalang ahli keluarga memasuki kawasan sekolah.

Namun, katanya, pelanggaran SOP tersebut oleh ibu bapa didapati masih berlaku sehingga menyebabkan tercetus penularan Covid-19 di sekolah.

“Terdapat ibu bapa pelajar terlibat yang menjalani ujian saringan Covid-19 selepas itu disahkan positif.

“Pada masa sama, ujian saringan ke atas anak-anak mereka di asrama pula didalati turut positif bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, malam semalam.

Beberapa buah sekolah di Baling, Kulim dan Alor Setar kini berdepan ancaman Covid-19 melibatkan para pelajar. Keadaan itu turut menyebabkan dua sekolah di Baling iaitu Maktab Mahmud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, ditutup bagi tujuan kerja-kerja isolasi pada 18 dan 22 April lalu.

Muhammad Sanusi dalam pada itu tidak menolak kemungkinan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar di sekolah-sekolah lain dalam negeri ini, turut berpunca daripada pertemuan antara murid dan ibu bapa.

“Jadi saya harap amalan yang sering dibuat dulu seperti menghantar makanan kepada anak-anak, tidak perlulah dibuat dalam norma baharu ini. Apatah lagi di asrama sememangnya menyediakan makanan buat anak-anak kita,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Muhammad Sanusi berharap polis Kedah dapat meneruskan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada individu yang mengambil kesempatan merentas negeri ini sempena kedatangan Syawal.

“Tahun lalu semua tidak boleh ke mana-mana tetapi tahun ini rasanya akan ada yang cuba merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri. Jadi saya harap polis dapat menyekat perkara ini daripada berlaku.

“Peringatan awal perlu diberikan kerana kita bimbang kemungkinan ada pihak yang membawa wabak tersebut ke negeri ini atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya