Ibu bapa bayi melecur kecewa pusat jagaan tidak tunai janji - Utusan Malaysia

Ibu bapa bayi melecur kecewa pusat jagaan tidak tunai janji

TAN Xin Pin (dua dari kiri) dan suaminya, Oon Yew Hao (kiri) menunjukkan gambar serta parut kesan melecur anak sulung mereka ketika ditemui di Pejabat Biro Aduan MCA, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri kecewa apabila pusat jagaan bayi dan ibu berpantang di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini yang cuai sehingga menyebabkan anak mereka yang baru 26 hari dilahirkan melecur tidak menepati janji untuk membayar ganti rugi seperti yang dipersetujui.

Ibu bayi itu, Tan Xin Ping, 25, berkata, dia mengambil pakej berpantang di pusat jagaan itu semasa melahirkan bayi sulung pada 26 Oktober tahun lalu dengan harga RM7,733.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di sebuah bilik di pusat jagaan itu sebelum dimaklumkan seorang pengasuh bahawa bayi lelakinya melecur pada bahagian belakang.

“Pada hari ke-26, saya berada di bilik, tiba-tiba seorang pengasuh datang beri tahu anak saya melecur pada bahagian belakang. Bila saya tanya, dia cakap tidak tahu, saya terus hubungi suami dan kami terus bawa ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA, Pasir Gudang di sini hari ini.

Xin Ping berkata, selepas dirawat, pihak hospital memaklumkan bayinya melecur akibat terkena air panas dan pihak hospital turut mencadangkan supaya membuat satu laporan polis sebelum mereka melakukannya pada hari sama kejadian iaitu 21 November lalu di Balai Polis Larkin.

“Setelah kami mendesak mereka, baru salah seorang kakitangan mengaku yang anak saya terkena air panas ketika mereka memandikannya. Saya terkejut dan kecewa selepas dua jam anak saya kena, baru mereka beritahu, masa itu, bayi saya tidak ada suara dah menangis,” katanya.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan pusat jagaan itu mengakui kesilapan mereka dan berjanji untuk membayar pampasan RM45,000 selama setahun secara ansuran selain berjanji akan membayar balik caj pakej berpantang serta bil hospital sebanyak RM4,000.

“Mereka ajak berbincang dengan saya dan suami (Oon Yew Hao, 32) untuk selesaikan cara baik supaya tidak memanjangkan kes dan kami setuju dengan cadangan mereka untuk bayar pampasan sebanyak RM3,000 sebulan selama setahun. Tetapi, kami terima bayaran hanya sebulan serta ‘refund’ dan bil hospital sebanyak RM11,733,” katanya.

Namun, pasangan suami isteri itu kesal apabila pusat jagaan itu memberi seribu alasan untuk mengelak daripada melunaskan janji yang sudah dibuat termasuk perjanjian bertulis.

Xin Ping berkata, dia dan suaminya berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat jagaan itu selepas dilihat seolah-olah lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab.

“Selepas saya buat siasatan sendiri dan rujukan melalui media sosial Facebook, saya dapati bukan saya sahaja mengalami, malah, ada seorang ibu turut melahirkan rasa tidak berpuas hati. Wanita itu cakap, mereka (pengasuh) melakukan kerja-kerja jaga bayi dengan cara yang kasar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, pihaknya memohon pihak pengurusan pusat jagaan itu tampil memohon maaf atas insiden yang berlaku.

Selain itu, pusat jagaan juga diminta bertanggunjawab atas kecuaian yang dilakukan serta mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) cara kerja kakitangannya agar kes sama tidak berulang.

“Selepas kita buat semakan mendapati premis itu memiliki lesen perniagaan, namun, tidak pasti sama ada berdaftar atau tidak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN