Hub pelancongan agama, dedah sejarah Pulau Besar - Utusan Malaysia

Hub pelancongan agama, dedah sejarah Pulau Besar

KERAJAAN Negeri Melaka bercadang menjadikan Pulau Besar sebagai lokasi hub pelancongan agama dengan mendedahkan sejarah penyebaran Islam di pulau itu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri akan melancarkan subsektor pelancongan ke-14 dengan menjadikan toleransi perbezaan agama sebagai daya tarikan baharu termasuk mendedahkan sejarah agama Islam di Pulau Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya kini sedang menjejaki dan memperincikan maklumat mengenai penyebaran awal agama-agama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau berkata, setakat ini sekurang-kurangnya lima perbezaan agama dicadangkan untuk diangkat bagi perkongsian umum antaranya Islam, Buddha dan Katolik.

“Dalam masa terdekat, kerajaan akan melancarkan subsektor pelancongan agama bagi mempromosikan nilai perpaduan dan toleransi perbezaan agama di negara ini, khususnya di Melaka yang dapat dilihat dengan jelas.

“Sebagai contoh adalah pembinaan rumah-rumah ibadat berbeza agama yang terletak bersebelahan antara satu sama lain seperti di Jalan Harmoni di Jonker Street yang menempatkan ketiga-tiga Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling dan Tokong Cheng Hoon Teng.

“Kini, kita sedang memperincikan maklumat mengenai dakwah setiap agama dan mencipta produk-produk yang menyokong agenda itu antaranya cenderahati mempamerkan binaan masjid, kuil atau tokong warisan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran Kempen Promosi Shopp@Melaka di Freeport Afamosa Outlet (FAO) di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghafar; Pengarah Urusan A’ Famosa Resort, Datuk Alex Lau Chir Nguan dan Pengurus Besar Tourism Melaka, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk menjadikan Pulau Besar sebagai lokasi hub pelancongan agama dengan mendedahkan sejarah penyebaran Islam di pulau keramat itu.

“Pulau Besar ini bukanlah pulau kurafat sebaliknya mempunyai karomahnya sebagai pencetus penyebaran Islam di Melaka.

“Kerajaan negeri memang bercadang untuk membangunkan Pulau Besar dan mewujudkan semula pusat pengajian tahfiz yang ada sebelum ini telah dipindahkan oleh kerajaan terdahulu ke kawasan lain,” ujarnya.

Tambahnya, perangkaan subsektor baharu itu juga adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik 6.2 juta pelancong menerusi pakej pelancongan yang ditawarkan dalam ‘Melakan Visit Melaka Packages 3.0’ yang dilancarkan Mac lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya