MELAKA: Sikap ahli politik yang menghina martabat, kedaulatan dan kuasa institusi raja disebabkan permainan politik bagi memenuhi cita-cita dan agenda pihak tertentu.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, tindakan itu hanya mencerminkan keruntuhan moral dan etika oleh individu yang diangkat sebagai pemimpin dan wakil rakyat.
Tegas beliau, perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan petunjuk dan intipati identiti nasional seperti termaktub dalam Rukun Negara, yang menuntut kesetiaan kepada raja serta moral dan budi bahasa dalam kalangan masyarakat.
“Tingkah laku ini akan ditiru oleh orang awam apabila berleluasanya komen-komen yang mengejek, menghina dan berniat jahat dalam media sosial. Akhirnya ia akan membawa kepada kebencian dan keruntuhan terhadap sistem institusi beraja jika dibiarkan berterusan.
“Ahli-ahli politik yang bertanggungjawab mesti merenung keterlanjuran ini. Hentikan ejekan, sindiran dan penghinaan terhadap institusi raja-raja dengan serta-merta serta tunjukkan contoh yang baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini pengguna media sosial terkejut setelah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Istagram milik baginda selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini dalam laman sosial, Twitter.
Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.
Tambah Mohd. Rafiq, peranan utama institusi raja-raja adalah untuk menjaga kedaulatan undang-undang di samping memastikan pemuliharaan dan pengasingan bidang kuasa pemerintahan.
Katanya, institusi berkenaan membentuk pemerintahannya tersendiri yang memainkan peranan sebagai kuasa pengimbang.
“Tanpa kewujudannya, institusi pemerintahan lain akan terdedah kepada ketidakstabilan dan penyalahgunaan kuasa, rakyat terjerumus ke kancah perpecahan dan pertelingkahan sementara negara berada dalam suasana tidak kondusif untuk perpaduan nasional.
“Oleh itu, sistem raja berperlembangaan telah diperakukan sebagai institusi dan pusat untuk rakyat berlindung daripada jurang perbezaan dan pergeseran politik selain tidak tertakluk kepada kepentingan politik tertentu,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE