GEORGETOWN: Hiasan lampu berbentuk bulan sabit dan bintang berwarna-warni untuk menyerikan kediaman sinonim dengan negeri ini terutama ketika Ramadan serta di ambang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Hasil kreativiti dalam menghasilkan hiasan lampu berkenaan membolehkan seorang tukang kebun di sebuah sekolah, Ros Azlan Osman, 37, memperoleh pendapatan tambahan sepanjang Ramadan.
Bapa kepada lima orang anak berusia sembilan tahun hingga sebulan itu berkata, dia mula menghasilkan hiasan berkenaan pada 2017 untuk dijadikan hiasan di rumah sendiri.
“Selepas itu, ramai rakan-rakan yang tertarik dengan hiasan tanglung ini dan mereka mula menempahnya daripada saya.
“Sejak itu, saya mula menghasilkan hiasan bulan sabit dan bintang berbucu sembilan hingga 14 untuk dijual kepada orang ramai yang berminat menghiasi rumah dengan hiasan ini,” katanya ketika ditemui di Flat Padang Tembak, Air Itam, di sini semalam.
Menurut Ros Azlan, penghasilan hiasan lampu ini tidak sukar tetapi memerlukan kreativiti membentuk kayu bertam mengikut rekaan sebelum lampu diod pemancar cahaya (LED) dipasang di dalamnya.
“Saya memilih menggunakan kayu bertam kerana lebih mudah untuk dilentur berbanding buluh.
“Kerja-kerja akhir menyiapkan hiasan ini adalah membungkusnya menggunakan plastik lutsinar berwarna-warni dan saya turut memasang pencangkuk serta lampu LED bagi membolehkannya digantung di hadapan rumah,” katanya.
Tambahnya, penghasilkan satu tanglung berkenaan mengambil masa sehari kerana memerlukan ketelitian bagi membentuk rangka bulan sabit dan bintang. – UTUSAN ONLINE