Henti buat keputusan mengelirukan - Ibu bapa - Utusan Malaysia

Henti buat keputusan mengelirukan – Ibu bapa

IBU BAPA masih menghantar anak di SK Pasir Pekan, Tumpat semalam kerana tidak menerima makluman awal mengenai penutupan sekolah di tujuh daerah di Kelantan selama seminggu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu bapa menyokong keputusan Kementerian Pendidikan menutup semua sekolah dan institusinya di tujuh daerah negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam sehingga 24 April ini.

Rata-rata mereka bagaimanapun menggesa kementerian berhenti membuat keputusan ‘flip-flop’ yang mengelirukan seperti arahan penutupan sekolah semalam yang hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sehingga menyusahkan orang ramai.

Bapa kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Meleret, Tanah Merah, Tarmizi Suhaimi, 34, berkata, dia terpinga-pinga kehairanan mendapati pintu pagar sekolah itu ditutup rapat dengan beberapa motosikal ibu bapa dilihat berpatah balik.

“Saya hantar anak pagi ini (semalam) sebab malam tadi berita kata sekolah di Kelantan buka macam biasa. Rupa-rupanya mereka beritahu dalam grup WhatsApp tengah malam tadi namun keluarga saya pula tidak ada telefon canggih untuk melihat mesej itu.

“Selama ini saya cuma tengok berita di TV atau dengar radio. Kerajaan tak habis-habis buat keputusan mengelirukan. Semalam lain hari ini lain. Menteri kata buka, jabatan suruh tutup, jadi kami mahu ikut siapa?,” soalnya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi bapa, Salahuddin Ramli, 40, berkata, dia tidak sempat membuka aplikasi WhatsApp kerana sibuk menyediakan sahur sebelum menyiapkan dua anak, masing-masing berusia enam dan sembilan tahun untuk ke sekolah.

“Penutupan ini wajar jika diambil kira situasi Covid-19 sekarang tetapi patut diumumkan lebih awal menerusi pelbagai cara. Bukan semua orang ada telefon pintar. Kalau pun ada, capaian internet pula lemah sehingga mesej WhatsApp tidak masuk segera,” katanya.

Suri rumah, Bahiah Zakaria, 37, pula berkata, dia menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, Kota Bharu, semalam kerana berita lewat petang kelmarin memaklumkan sekolah di Kelantan dibuka seperti biasa ketika PKP.

Bagi Zaini Mohamad, 53, pula, dia mengakui terdengar khabar angin sekolah ditutup lebih awal namun tetap menghantar anaknya ke sekolah kerana ragu-ragu apabila tidak ada berita disiarkan mengenai penutupan itu pagi semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Kota Jembal, Norma Ishak ketika ditemui berkata, sejurus selepas menerima arahan penutupan sekolah pada pukul 11.30 malam, beliau segera meminta guru-guru memaklumkannya kepada ibu bapa menerusi WhatsApp.

“Awal-awal lagi saya menunggu di pintu pagar sekolah kerana risau maklumat tidak sampai dan ternyata benar masih ramai ibu bapa didapati tidak mengetahui arahan terkini pihak jabatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Mukim Cherang Ruku, Pasir Puteh, Roslan Hassan mengambil inisiatif mengumumkan khabar yang baru diterimanya selepas solat Subuh dan meminta kariah masjid menyebar luas perkara itu kepada penduduk kampung.

“Kalau pihak berkenaan maklumkan lebih awal malam tadi, boleh saya umumkan terus semasa solat tarawih. Kita harap Covid-19 dapat segera dibendung supaya anak-anak dapat kembali menuntut ilmu di sekolah,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi mengumumkan penutupan sekolah-sekolah di kawasan PKP pada pukul 11 malam semalam, namun surat rasmi arahan itu hanya diterima pentadbiran sekolah-sekolah pada pukul 5 pagi semalam.

Pengumuman itu dibuat kurang 24 jam selepas Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengesahkan KPM tidak bercadang untuk menutup sekolah di kawasan yang dikenakan PKP di Kelantan, petang kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya