MERSING: Hasrat seorang pesakit kanser usus di Kampung Sungai Mengkuang, Endau di sini yang mahu menyambut Ramadan dan berbuka puasa bersama anak dan isterinya di Chaah, Segamat tercapai.
Ia berikutan Hassan Basir, 42, yang keluar daripada wad baru-baru ini tidak dapat memandu pulang setelah dia selesai berubat secara tradisional di kampung berkenaan yang merupakan kediaman keluarganya.
Ekoran keadaan kesihatan yang terjejas, Persatuan Kebajikan Prihatin Mersing mengambil inisiatif untuk menghantar Hassan pulang ke Segamat dengan menaiki ambulans pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Menurut pengasas persatuan, Muhammad Syahrul Nizam, bapa kepada seorang anak itu berada di Endau sejak enam hari lalu untuk tujuan perubatan, namun, akibat tahap kesihatan yang semakin merosot, dia tidak mampu berdiri sehingga menyukarkannya untuk memandu.
“Pada mulanya, kami berkunjung ke rumah keluarganya untuk menyerahkan sumbangan sempena Ramadan selepas mengetahui dia baru keluar daripada wad, tetapi, ketika lawatan itu, dia maklumkan mahu pulang ke rumah mentuanya untuk menyambut Ramadan bersama isteri dan anak.
“Hassan disahkan menghidap kanser sejak enam bulan lalu dan kini perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak, melihat keadaannya kami mewujudkan misi khas untuk bantu membawa dia pulang menaiki ambulans persatuan ke Segamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad Syahrul berkata, usaha berkenaan juga untuk membantu meringankan beban keluarga itu yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Jika diikutkan, isterinya mahu datang ke Endau untuk mengambilnya, namun, perjalanannya agak jauh ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang seperti itu, jadi, kami beritahu akan bantu bawanya pulang.
“Selain sumbangan barang makanan, kita juga turut menyumbang kerusi roda untuk kegunaan dan kemudahan Hassan bergerak,” katanya.
Tambah beliau, Hassan juga merupakan pesakit pertama menggunakan ambulans persatuan berkenaan yang baru diwujudkan untuk memberi khidmat masyarakat kepada penduduk sekitar yang kurang kemampuan. -UTUSAN ONLINE