PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bakal melancarkan Hari Tanpa Tunai di semua hospital, klinik dan fasilitinya dalam usaha mempromosikan amalan budaya baharu yang lebih selamat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia bukan sahaja mengurangkan ancaman bahaya jenayah apabila kurang membawa wang tunai malah mengelak risiko penularan kuman.
“Langkah ini sejajar inisiatif pendigitalan negara terutama ketika pandemik Covid-19, dengan pelanggan juga bebas jangkitan penyebaran virus yang ada di wang kertas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bagi Kempen MyDebit anjuran kementerian itu dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Program antara 1 Julai hingga 31 Disember lalu itu menawarkan hadiah wang tunai RM100 kepada setiap 300 pemenang selain motosikal Yamaha Y15ZR kepada tiga pemenang utama.
Tiga Jabatan Kesihatan negeri yang paling tinggi transaksi MyDebit iaitu Sarawak, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing meraih wang tunai RM10,000, RM6,000 dan RM3,000.
Adham berkata, setakat ini sebanyak 350 terminal pembayaran secara MyDebit sudah sedia dipasang di pelbagai hospital, klinik dan fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara.
“Kita akan memperluaskan kaedah ini meliputi lebih 1,300 klinik kesihatan, klinik desa, klinik ibu dan anak selain 144 hospital kerajaan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berharap, pembayaran tanpa tunai akan menjadi kebiasaan baharu rakyat negara ini pada masa depan ketika berurusan di semua premis di bawah Kementerian Kesihatan.
Inisiatif tersebut juga jelas beliau, dijangka mengurangkan isu ketirisan di kaunter pembayaran sekali gus dapat menambah baik lagi aspek integriti dan kecekapan pengurusan aliran tunai.
Setakat ini kata Adham, usaha berkenaan dilaksanakan pihak kementerian tersebut secara berperingkat sejak dilancar pada 14 Ogos tahun lalu bagi memberi masa kepada masyarakat.
“Sejajar usaha kerajaan mengekang virus Covid-19, kaedah ini amat berkesan untuk kurang sentuhan ketika transaksi bayaran selain mewujudkan masyarakat tanpa tunai,” katanya.
Ia juga sejajar aspirasi Bank Negara Malaysia ketika sistem pembayaran elektronik mula diperkenalkan pada 1997 lalu melibatkan kesemua 22 bank yang beroperasi di negara ini.