Harga sawi, Pak Choi, daun bawang naik mendadak - Utusan Malaysia

Harga sawi, Pak Choi, daun bawang naik mendadak

PARA peniaga sayur di sekitar pasar awam Barat Daya, Pulau Pinang kini mengeluh dengan kenaikan mendadak harga sayur khususnya sawi, Pak Choi dan daun bawang yang turut menjejaskan perniagaan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga sayur di negeri ini terkejut dengan kenaikan mendadak harga bagi sekilo sawi, Pak Choi dan daun bawang di peringkat pembekal malah menyifatkan situasi kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam di daerah Barat Daya di sini mendapati, harga bagi tiga jenis sayur-sayuran itu naik sekitar RM3 hingga RM4 berbanding dua minggu lalu.

Malah peniaga juga difahamkan sudah berdepan kenaikan harga sayur-sayuran yang sangat ketara itu sejak Isnin lalu, seminggu sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.

Sayur sawi dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM6; Pak Choi dijual RM12 hingga RM15 daripada RM10 manakala daun bawang pula RM25 daripada RM21 sekilogram.

Disebabkan kenaikan tersebut, rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga jualan kepada pengguna biarpun berdepan kerugian seperti daun rosak dan layu.

Seorang peniaga sayur di Pasar Awam Bayan Baru, Rashidah Mat Yusoff, 53, berkata, kenaikan harga tiga jenis sayur itu berlaku di peringkat pembekal sejak minggu lalu.

“Pembekal tidak maklum punca kenaikan harga berlaku tetapi ada pembekal lain beritahu yang harga sayur-sayuran itu mengikut nilai pasaran ketika ini.

“Sayur-sayuran ini diambil daripada pembekal di Georgetown dan kami peniaga akan mengagihkannya dengan rakan niaga yang lain. Kami juga berdepan kerugian apabila terpaksa memilih dan membuang sayur yang rosak sebelum dipasarkan kepada pelanggan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, peniaga-peniaga ayam di pasar awam negeri ini juga mula resah dengan kenaikan harga 30 sen bagi sekilo ayam.

Ketika ini, ayam bagi sekilogram dijual pada harga RM9.50 hingga RM9.80 di pasar-pasar awam berbanding RM9 sebelum ini berbeza di pasar raya besar yang mana harga bagi sekilo ayam hanya RM4.99.

Peniaga ayam di Pasar Awam Desa Mayang, Bayan Baru, Lin Sulaiman, 42, memberitahu, kenaikan harga ayam berlaku selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini daripada peringkat pembekal.

“Kenaikan dikatakan berlaku disebabkan kenaikan harga dedak. Kami cuba mempertahankan harga asal dalam tempoh dua minggu namun pihak pembekal masih menaikkan harga ayam.

“Disebabkan apa yang berlaku, kami terpaksa menaikkan harga ayam pada harga RM9.50 sekilo. Kami memahami keadaan pengguna ketika ini dan pada masa sama, kami juga tersepit dengan situasi tersebut.

“Esok (hari ini) harga ayam naik lagi 30 sen oleh pihak pembekal. Saya memang akan kekal harga asal (RM9.50) demi pelanggan dan faktor ekonomi yang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.

Difahamkan setakat semalam, harga ayam yang dipasarkan pihak pembekal adalah sekitar RM7.80 sekilo. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya