Harga minyak masak botol ikut harga pasaran - Utusan Malaysia

Harga minyak masak botol ikut harga pasaran

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memberikan subsidi minyak masak botol dan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga bagi minyak masak botol adalah tidak tetap dan berubah-berubah mengikut harga pasaran semasa.

Menurut beliau, harga pasaran minyak masak adalah ditentukan oleh harga Minyak Sawit Mentah dunia dan lain-lain kos yang menyumbang kepada penentuan harga runcit minyak masak botol seperti kos operasi, kos bahan mentah (minyak masak mentah) dan kos pembungkusan (kos botol atau plastik adalah berbeza).

Bagaimanapun, katanya, kementerian memandang serius situasi harga barangan keperluan pengguna yang tidak terkawal, termasuk minyak masak botol di pasaran kerana ia penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kenaikan harga barangan yang terlalui tinggi atau tidak terkawal adalah asas kepada suatu tindakan pemeriksaan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, ia tidak semestinya mencatut. Analisis pencatutan akan dilaksanakan setelah maklum balas notis diterima daripada peniaga.

“Sebarang kenaikan yang dibuat tanpa mematuhi perundangan pencatutan adalah mencatut dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 termasuk kepada minyak masak botol yang ada di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend meningkat sejak 2018 dan pada akhir Disember tahun lalu sehingga mencecah RM 3,835 per metrik tan (mt), manakala pada tahun ini mencapai RM 4,153 mt sekali gus memberi kesan kepada harga runcit minyak masak botol.

Oleh itu, katanya, wajar dan munasabah situasi perubahan harga minyak mentah dunia ini memberi kesan kepada perubahan harga runcit minyak masak botol yang dijual di pasaran.

Kata beliau, rakyat perlu memahami senario yang berlaku dalam menentukan perubahan harga pada barang keperluan seperti minyak masak botol.

“Berdasarkan rekod pemantauan harga KPDNHEP, bekalan minyak masak jenis tulen botol 5 kg pada harga jual di antara RM 21.50 sehingga RM 30.00 ada di pasaran. Pengguna ada pilihan harga di antara RM 21.50 sehingga RM 30.00 .

“Harga runcit minyak masak campuran jauh lebih tinggi berbanding minyak masak sawit tulen. Minyak masak campuran mempunyai penambahan kos tambahan yang juga mempengaruhi harga jual minyak masak,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, berdasarkan rekod aduan berhubung minyak masak botol dijual pada harga tinggi menunjukkan penurunan tahun ini iaitu sebanyak 16 aduan diterima pada Januari, tiga aduan (Februari) dan lima aduan (Mac) manakala tiada aduan diterima pada bulan ini.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan meneruskan program pemberian subsidi terhadap minyak masak dalam polibeg satu kilogram (kg) tetap bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM 2.50 (satu kg).

Katanya, pengguna diberi pilihan untuk memilih minyak masak bersubsidi satu kg yang juga berkualiti, atau memilih minyak masak botol yang ada dijual dalam pelbagai berat dan harga.

“Sebanyak 60,000 mt sebulan (atau 720,000 mt setahun) minyak masak satu kg bersubsidi diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan 32.7 juta orang rakyat Malaysia.

“Tindakan ini, memberikan keseimbangan pasaran harga minyak masak dalam negara dan pengguna boleh menikmati harga minyak masak mampu milik untuk pilihan minyak masak bungkus polibeg satu kg pada harga RM 2.50 sahaja,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, selepas kecoh kenaikan harga keperluan barangan dapur terutama ayam dan daging baru-baru ini, kini pengguna berdepan pula dengan kenaikan harga minyak masak sehingga melepasi RM30 untuk botol seberat lima kg. Kenaikan itu dikesan bermula awal tahun ini namun semakin ketara ketika menjelang Ramadan dan dijangka berlarutan sepanjang sambutan Aidilfitri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya