Harga daripada pembekal juga perlu dikawal - Utusan Malaysia

Harga daripada pembekal juga perlu dikawal

PENIAGA sempat berbincang mengenai harga siling ayam yang ditetapkan pada harga RM7.90 di Pasar Besar Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka dekat sini melahirkan rasa lega apabila kerajaan menetapkan harga siling ayam standard RM7.90 sekilogram bermula semalam.

Mereka turut menyambut baik langkah penguatkuasaan awal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 iaitu 22 hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, berbanding 15 hari sebelum ini.

Seorang peniaga, Hashim Abdulah, 61, berkata, bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetap perlu memberi jaminan bahawa harga ayam dari ladang juga tidak akan mengalami kenaikan.

“Soal harga ayam ini sudah berkurun menjadi isu setiap sambutan Aidilfitri. Kalau kerajaan tetapkan harga siling yang dijual kepada pengguna, apa pula jaminan kerajaan bahawa harga ayam dari ladang mengikut harga siling?

“Apa guna kalau harga runcit ayam RM7.90 tetapi harga ayam dari ladang tidak ditetapkan harga. Pembekal ini suka main harga dan ini menyebabkan harga ayam melambung tinggi sejak akhir-akhir ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah kerajaan memperkenalkan awal SHMMP 2021 adalah bertujuan untuk
menyekat kenaikan harga barangan terutama ayam standard sepanjang puasa ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Hamzah Osman, 57, berkata, pembekal dilihat lebih licik memanipulasi harga walaupun kerajaan menetapkan harga siling ayam standard.

“Harga dari pembekal ini lebih merisaukan. Golongan ini boleh menyebabkan kami peniaga rugi jika keuntungan sekitar 50 sen sekilogram. Nak bayar gaji pekerja seramai dua atau tiga orang pun payah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN