Harga buah tandan melonjak, pendapatan peneroka cecah RM5,000 - Utusan Malaysia

Harga buah tandan melonjak, pendapatan peneroka cecah RM5,000

MUSTAPA Mohamed melihat tanaman halia muda yang diusahakan Amran Mahat (kanan) sempena lawatan kerja ke Projek Halia Muda di Felda Raja Alias 1, Jempol. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Berikutan harga buah tandan segar melonjak daripada sekitar RM400 kepada lebih RM900, pendapatan peneroka dijangka bakal meningkat sehingga mencecah RM5,000 setiap orang secara purata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan pendapatan berkenaan adalah berdasarkan kenaikan harga minyak sawit iaitu melebihi RM4,000 bagi kadar satu tan minyak berkenaan di pasaran.

Menurutnya, lonjakan harga di paras tertinggi berkenaan tidak pernah berlaku dan diharapkan harga kelapa sawit berkenaan kekal berada di paras stabil.

“Kita bersyukur kerana dalam dua ke tiga bulan ini peneroka Felda nikmati pendapatan lebih tinggi. Kalau tahun lepas seorang peneroka pendapatan mungkin sekitar RM1,500 sebulan sekarang ini sudah RM5,000 sebulan.

“Yang penting, peneroka Felda boleh bersyukur dengan pendapatan yang bertambah ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Projek Halia Muda di Felda Raja Alias 1 di sini hari ini.

Sementara itu Mustapa berkata, lawatan berkenaan adalah bagi meninjau pelaksanaan, prestasi dan kejayaan projek di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan secara giat sejak tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM238 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan di mana pada tahun lalu sebanyak RM138 juta diberikan dan tahun ini sebanyak RM100 juta.

“Sehingga kini, sebanyak 132 projek PPP telah diluluskan iaitu 63 projek dilaksanakan individu dan 60 lagi projek dilaksanakan oleh koperasi.

“Kita sudah membuat projek perintis di Felda Bukit Rokan (Gemencheh) bagi projek arnab dan cendawan,” katanya.

Menurut Mustapa, Felda telah memutuskan untuk memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi projek halia muda di Wilayah Raja Alias seperti mana yang dilaksanakan peneroka Amran Mahat, 63, sejak 2016.

“Kini dia (Amran) turut mempunyai 10 orang individu (peserta) di bawahnya bagi tanaman kelompok halia muda dan memperoleh pendapatan sekitar RM500 seorang sebulan.
Menurutnya, tahun ini, Felda memfokuskan kepada tanaman halia muda berdasarkan harga dan pasarannya yang baik.

“Negara kini mengimport halia dari China dan lain-lain lagi kira-kira RM200 juta setahun.

“Selari dengan hasrat kita untuk mengurangkan import dan menambah jaminan bekalan makanan kita galakan petani (termasuklah peneroka) tanam keluaran pertanian. Halia potensi cukup baik pasarannya,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung langkah itu akan dapat membantu hasrat kerajaan untuk menambah pendapatan peneroka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya