Harga bahan mentah di Melaka terkawal - Utusan Malaysia

Harga bahan mentah di Melaka terkawal

NORENA JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada kenaikan harga barang dilaporkan di negeri ini terutamanya melibatkan bahan-bahan mentah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, meskipun berlaku peningkatan permintaan bahan mentah berikutan operasi bazar Ramadan, pemantauan harian yang dijalankan mendapati para peniaga tetap mematuhi harga kawalan.

Beliau berkata, peniaga-peniaga di bazar Ramadan juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau, semata-mata mengejar keuntungan berlipat kali ganda kerana tidak dapat beroperasi tahun lalu.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan dan setakat ini tiada laporan kenaikan harga barang yang diterima terutamanya bahan mentah seperti ayam dan sebagainya.

“Kalau ada peniaga yang cuba ambil kesempatan, laporkan kepada kita supaya tindakan dapat diambil. Jangan hanya ambil gambar dan tularkan di media sosial,” katanya.

Sebanyak 74 bazar Ramadan dibuka di negeri ini merangkumi empat kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghaffar Atan memberitahu, permohonan tapak perniagaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2019 apabila mencecah sehingga 6,000 peniaga.

Beliau berkata, dalam keterujaan menyambut Ramadan memandangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan operasi bazar dan solat tarawih, rakyat dinasihatkan supaya jangan leka sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, ini kerana kenaikan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak dikhuatiri akan membawa kepada pembatalan kebenaran bazar Ramadan yang akhirnya merugikan peniaga.

“Selaras dengan dasar Melaka Bebas Berniaga selama setahun, memang sudah dijangka akan ramai yang memohon untuk mendapatkan tapak bazar Ramadan.

“Di Melaka akan ada 74 tapak bazar Ramadan. Jumlah permohonan yang diterima oleh empat PBT adalah sebanyak 6,001 peniaga.

“Cuma apa yang saya minta, patuhilah SOP kerana kalau kes meningkat. MKN tidak akan teragak-agak untuk membatalkannya, akhirnya peniaga juga yang akan menanggung rugi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN