Harga ayam, sayur di Kelantan naik - Utusan Malaysia

Harga ayam, sayur di Kelantan naik

KECUALI ikan, harga sayur dan barangan basah naik mengejut di Kelantan hari ini. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Harga kebanyakan sayur dan barang basah didapati naik antara RM1 hingga RM5 di pasar-pasar utama di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati, orang ramai merungut kerana kenaikan berlaku mengejut namun tiada pilihan lain dan tetap membeli-belah seperti biasa.

Paling ketara, harga ayam yang dijual RM7.30 hingga RM7.50 sekilogram berbanding RM6.50 sebelum ini manakala sawi RM18 sekilogram berbanding harga lama RM13.

Harga pelbagai jenis ikan rakyat pula kekal iaitu ikan selar RM15 sekilogram, ikan cencaru (RM10 sekilogram), ikan tongkol (RM9 sekilogram), ikan selayang (RM8 sekilogram) dan ikan bawal (RM11 sekilogram).

Seorang peniaga ayam, Yahasmizi Alias, 36, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan kerana harga ayam borong diterima semalam meningkat berbanding kelmarin.

Pembeli, Mohd. Adnan Mohd. Nordin 46, pula berkata, dia yang menjual nasi Arab terpaksa menyerap kenaikan kos secara tiba-tiba itu bagi menyiapkan juadah yang ditempah pelanggan lebih awal.

Sementara itu di Gua Musang, kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar dilihat lebih berhemah dalam berbelanja kerana harga kebanyakan barang keperluan sudah naik sejak seminggu lalu.

Tinjauan di sebuah pasar raya mendapati harga barangan basah seperti ayam dijual sehingga RM8.40 sekilogram berbanding RM7 sehingga RM7.80 sebelum ini.

Selain itu, harga sayur-sayuran juga didapati naik, namun tidak terlalu ketara.

Suri rumah, Siti Khadijah Jaafar, 37, berkata, dia agak berhati-hati ketika berbelanja dengan cara membandingkan harga terlebih dahulu.

Seorang lagi pembeli, Mohd. Rafik Mohd. Ali, 49, berkata, harga barangan basah yang terus naik dalam masa singkat diakui membebankan rakyat terutama golongan miskin ketika Ramadan ini.

“Jika harga terus melambung selepas ini, mungkin keluarga saya terpaksa berjimat dengan cara berbuka dan bersahur secara ala kadar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya