KUANTAN: Harga ayam proses di negeri ini dijual pada harga RM9.90 sekilogram, meningkat 30 sen berbanding RM9.60 sebaik sahaja umat Islam mula menunaikan ibadah puasa, Selasa lalu.
Sebelum bermulanya Ramadan, harga ayam dijual sekitar RM8 hingga RM8.60 sekilogram.
Seorang peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan, Muhammad Nazri Ishak, 45, tidak menafikan ketika ini harga ayam proses agak mahal berbanding seminggu sebelum puasa.
“Sama ada harganya terus kekal atau berlaku perubahan naik atau turun, kena tunggu seminggu sebelum hari raya apabila pihak kerajaan mula membuat skim kawalan harga.
“Kenaikan harga ketika puasa memang sudah dijangkakan kerana ia ‘mainan’ pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana permintaan terhadap ayam proses selalunya tinggi,” katanya di sini semalam. – UTUSAN ONLINE