Harga ayam di Kedah semakin melambung - Utusan Malaysia

Harga ayam di Kedah semakin melambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kebanyakan peniaga ayam di negeri ini menjual ayam proses pada harga antara RM9.50 sehingga RM10 sekilogram selepas pemborong menaikkan harga bekalan ayam sebanyak 30 sen hingga 50 sen sekilogram, semalam..

Malah peniaga terbabit tidak menolak kemungkinan harga ayam di negeri ini boleh mencecah RM12 sekilogram dalam Ramadan ini.

Harga ayam dijangka turun selepas kerajaan melaksanakan skim harga maksimum musim perayaan kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Seorang peniaga ayam, Ishak Ramli, 35, berkata, pemborong memberi alasan kenaikan harga ayam tidak dapat dielakkan ekoran harga dedak ayam melambung.

Malah katanya, dia tidak menolak kemungkinan harga ayam akan terus meningkat sehingga mencapai RM12 sekilogram.

“Pada hari ini (semalam), pemborong menaikkan lagi harga ayam proses sebanyak 30 sen hingga 50 sen sekilogram.

“Dalam masa beberapa hari lagi, harga ayam dijangka terus melambung,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga ayam, Abu Hassan Saad, 51, berkata, kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga ayam untuk mengelakkan kerugian dan mengakui pengguna merasai beban terutama golongan berpendapatan rendah.

“Itu pun saya masih menjual ayam proses pada harga RM9 sekilogram kepada pelanggan tetap walaupun terpaksa menanggung sedikit kerugian,” katanya.

Tambahnya, harga ayam akan terus meningkat pada Ramadan ini sehingga kerajaan melaksanakan skim harga maksimum musim perayaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN