Hanya alasan munasabah boleh rentas negeri hujung minggu - Utusan Malaysia

Hanya alasan munasabah boleh rentas negeri hujung minggu

ABD. Rahim Jaafar. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kebenaran untuk merentas negeri pada hari Sabtu dan Ahad masih boleh dipertimbangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengambil kira alasan yang munasabah seperti urusan pekerjaan dan kecemasan.

Sehubungan itu, masyarakat diminta tidak salah faham berhubung perkara tersebut kerana arahan berkenaan bagi mengelak berlaku salah guna tujuan oleh pihak yang mengambil kesempatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, walaupun arahan mengenai kelulusan rentas sempadan telah dikeluarkan, tetapi, PDRM masih mempunyai budi bicara berdasarkan keutamaan.

Menurut beliau, kebenaran boleh diberi bagi kes membabitkan kecemasan seperti kematian ahli keluarga terdekat selain perkara-perkara yang berlaku di luar kawalan manusia termasuk atas keperluan kerja.

“Arahan ini tertakluk kepada perkara-perkara yang ditetapkan, tetapi, jika berlaku kes kecemasan, memang boleh dipertimbangkan kelulusan untuk rentas negeri beserta dokumen tertentu sebagai bukti.

“Begitu juga kalau urusan kerja itu berlaku pada Sabtu dan Ahad, cuma, kita tidak mahu banyak pergerakan rentas negeri menggunakan alasan tertentu, sebaliknya untuk tujuan lain sebab itu kita kena kawal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran buku ’69 Komando : Lahad Datu 2013′ di Markas 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Kem Ulu Kinta di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, PDRM hanya meluluskan pergerakan rentas negeri pada Isnin hingga Khamis sahaja dengan enam alasan yang dipertimbangkan.

Alasan itu melibatkan membabitkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19 sejak empat hari lalu.

Justeru, katanya, permohonan untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan selain hal kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN