Hanya 2,000 penonton, tiket Penang FC lawan Sabah FC dijual online hari ini - Utusan Malaysia

Hanya 2,000 penonton, tiket Penang FC lawan Sabah FC dijual online hari ini

SOON Lip Chee (tengah) pada sidang akhbar pengumuman penjualan tiket secara online bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super antara Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang Ahad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerinduan penyokong tegar pasukan bola sepak Penang FC untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi secara langsung di stadium bakal tertunai Ahad ini.

Ini berikutan buat pertama kalinya selepas pandemik Covid-19 melanda negara, penyokong pasukan Harimau Kumbang itu akan dibenarkan menonton perlawanan menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya di sini.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee, hanya 2,000 penonton dibenarkan menyaksikan perlawanan itu selaras dengan ketetapan 10 peratus kapasiti stadium yang dibuat Kementerian Belia dan Sukan.

Malah beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC Sdn. Bhd. berkata, kelulusan itu juga termaktub kepada syarat-syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Malaysia Football League (MFL).

Jelas beliau, antara SOP yang digariskan termasuk pembelian tiket secara dalam talian dengan setiap individu hanya boleh membeli dua keping tiket dan tidak boleh dipindah milik.

“Tiket boleh dibeli di https://tickethotline.com.my/ dengan tiket ‘grand stand’ terbuka atau tidak berbumbung (Zon B dan C) dijual pada harga RM25 manakala tempat duduk tangga batu (Zon A dan D) berharga RM20.

“Jualan tiket sudah dibuka bermula pukul 9.30 pagi hari ini dan akan ditutup pukul 3 petang Ahad ini.

“Penonton juga wajib membawa kad pengenalan diri bagi tujuan imbasan (scan) tiket untuk masuk ke stadium,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Perlawanan Liga Super antara pasukan Penang FC dan Sabah FC sepatutnya dijadual esok, namun dipinda ke Ahad ini atas permintaan pasukan Sabah yang berdepan isu penerbangan ke Semenanjung yang terhad.

Dalam pada itu Lip Chee menasihatkan mereka yang berjaya membeli tiket perlawanan supaya hadir lebih awal ke stadium bagi memastikan semua SOP yang digariskan seperti imbasan kod QR, imbasan suhu badan dan imbasan tiket dapat dipatuhi.

Katanya, pintu masuk ke stadium akan mula dibuka pukul 6 petang pada hari perlawanan dan ditutup pukul 8:30 malam.

Jelasnya, pembahagian tempat duduk penonton pula dibuat kepada empat zon iaitu Zon A seramai 430 orang; Zon B dan C (1,066) manakala Zon D (504).

Tambah beliau, sebanyak 20 Sukarelawan Belia Pulau Pinang dan lima orang Sukarelawan Sports Bubbles akan bertugas untuk pemantauan SOP pada hari perlawanan.

“Pasukan Penang FC yang kini menduduki tempat ketiga dalam liga amat memerlukan ‘pemain ke-12’ iaitu anda (penyokong) bagi membakar semangat dan memenangi semua baki perlawanan yang ada.

“Tempat duduk amat terhad, maka segeralah mendapatkan tiket anda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya